PAS mahu ‘kawal’ kenyataan media elak imej negatif

KOTA BARU, Dis 27 — PAS akan menggunakan mekanisme khas yang hanya membolehken sesetengah pemimpinnya mengeluarkan kenyataan media, dipercayai usaha terbaru parti itu untuk mengawal impak kerosakan akibat liputan media massa.

Di bawah mekanisme itu hanya pemimpin tertentu dalam PAS sahaja yang akan dibenarkan mengeluarkan kenyataan media.

Perkara itu dinyatakan oleh timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa (gambar)ketika sesi soal jawab pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS-55 PAS Pengkalan Chepa, malam tadi.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan butiran barisan pemimpin yang bakal diberi kebenaran.

“PAS memang mengambil perhatian serius terhadap perkara itu. Dan, kita telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Syura ulama diadakan hampir dua minggu lepas,” katanya.

Beliau juga tidak menyatakan khusus kenyataan media yang dimaksudkan.

The Malaysian Insider difahamkan ia berkaitan dengan siri isu kontroversi PAS Kelantan dan PAS Selangor sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Bachok ini berkata situasi itu berpunca daripada media yang kadang-kadang suka mengolah atau menterjemahkan setiap kenyataan mengikut cita rasa masing-masing.

“Mereka (media) tidak memuatkan intisari sebenar statement yang diperolehi itu.

“Banyak kenyataan dilaporkan adalah tidak sama. Mereka hanya mengambil sebahagian daripada kenyataan dan diolah secara tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan salah seorang peserta program tersebut berhubung kenyataan pemimpin PAS yang dilihat sejak kebelakangan ini seringkali bertindih dan mengelirukan rakyat terutama berkaitan isu semasa politik tanah air.

Jelas beliau, mesyuarat ahli jawatankuasa PAS Pusat semalam juga memutuskan untuk mengadakan seminar kemanfaatan media untuk kebaikan parti.

Ahad lalu PAS telah mengadakan konvensyen untuk penulis blog.

Menyentuh pasal penggunaan blog secara berleluasa di kalangan pemimpin PAS, beliau tidak menolak kebaikan teknologi dunia maya itu buat setiap lapisan masyarakat.

“Tapi biarlah rasional. Biar ada bukti dan fakta semasa membuat apa-apa luahan atau kenyataan melalui blog,” katanya.

Program Munaqasyah Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS merupakan aktiviti tahunan PAS diadakan di seluruh peringkat pusat, negeri dan kawasan.

Ucapan dasar yang bertajuk “Islam Memimpin Perubahan” telah disampaikan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS-55 hampir enam bulan lalu.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa.

Mohd Amar semasa mengulas cabaran politik semasa berkata kekuatan serta kejayaan PAS menghadapi segala cabaran itu berpaksikan kepada dua asas utama iaitu akidah dan ukhuwah.

“PAS mewarisi dua asas itu daripada ulama-ulama terdahulu dan dipraktikkan dalam perjuangannya sejak penubuhannya pada 1951,” katanya.

Kata beliau, kegagalan menerapkan falsafah itu dalam perjuangan parti adalah punca budaya politik negara mudah dicemari budaya negatif.

“Itu lah antara punca banyak berlakunya gejala pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sehingga enjin jet pun boleh hilang, satu perkara tak masuk akal, mengaibkan negara pada kaca mata dunia.

“Masjid runtuh, stadium runtuh, jambatan runtuh, runtuh-runtuh itu sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh ahli PAS dari semua peringkat agar sentiasa memperkukuhkan asas tersebut dalam usaha memperkasakan parti terutama menjelang pilihan raya umum ke-13. (The Malaysian Insider)

No comments

Powered by Blogger.