Pejabat ADUN Subang Jaya bela Penduduk Indah Court

Ahli majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ken Chia menyarankan penduduk di Pangsapuri Indah Court, Bandar Sunway menggunakan inisiatif dan komitmen mereka dalam menjaga kebajikan kawasan tempat tinggal memandangkan kutipan dana untuk membiayai kos penyelengaraan, tidak diendahkan.

Menurutnya, penduduk tidak seharusnya menunggu peruntukan daripada wakil rakyat atau mana-mana PBT semata-mata sebaliknya mengikhtiarkan untuk mengumpul dana di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Cadangan saya ialah, semua orang perlu membayar bahagian mereka. Mereka perlu mula untuk menghulurkan sumbangan untuk JMB sebab mereka adalah penduduk dan pemilik. Mereka perlu lebih aktif dan memberi komitmen kepada dana,” kata beliau.

Sejak 18 tahun lalu, kebajikan penduduk di Pangsapuri Indah Court seakan tidak dipedulikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan tiada kerja penyelengaraan.

Ketiadaan tong sampah dan fungsi MPSJ yang kurang berkesan memperlihatkan imej buruk kepada penduduk seolah-olah kawasan pangsapuri tersebut dianak-tirikan.

Ekoran masalah yang kurang diberi perhatian, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya di bawah kelolaan Hannah Yeoh hari ini menganjurkan program gotong-royong bersama penduduk setempat.

Program yang bermula seawal 8.30 pagi melibatkan wakil-wakil dari MPSJ, gereja Full Gospel Assembly dan penduduk pangsapuri Indah Court.

Aktiviti ini bagi meningkatkan kesedaran penduduk terhadap tanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan bagi mengelakkan daripada penularan wabak denggi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Indah Court, Abu Noh bersyukur selepas Hannah Yeoh mengambil alih, beliau membawa sedikit perubahan kepada kebajikan penduduk Indah Court.

Beliau turut berharap agar pangsapuri Indah Court dibaikpulih dan diberi wajah baru untuk keselesaan penduduk.

“Jadi saya berharap yang pertama sekali rumah yang dia blok ini sudah 20 tahun tidak mendapat srata lagi. Tak dapat serata lagi. Tengok sahaja bangunan ni, belum pernah dicat lagi dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Pada program sama turut diserikan dengan penyampaian beg sekolah kepada 30 kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan, sumbangan pejabat ADUN Subang Jaya. - Hadri Yaziz

No comments

Powered by Blogger.