Penduduk Bukit Antarabangsa Gesa Kerajaan Persekutuan Dahulukan Rakyat

ULU KLANG, 6 Dis - Warga Bukit Antarabangsa mengadakan Hari Memperingati Setahun Berlalu Tragedi Bukit Antarabangsa bagi memperingati kejadian tanah runtuh yang meragut lima nyawa dan membawa seribu macam ketakutan kepada penduduk.

Di majlis ini, mereka menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mendahulukan kepentingan rakyat, dan bukan melindungi kelemahan para pemaju.

Warga Bukit Antarabangsa mahu laporan peta bencana dikeluarkan secepat-mungkin supaya penduduk dapat mengenal-pasti kawasan merbahaya berhampiran kediaman mereka.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata rayuan penduduk akan dibawa ke peringkat Parlimen untuk perhatian kerajaan.

“Saya minta supaya kami mempunyai peta kawasan lereng bukit yang dihazardkan kerana ia memberikan kebaikan kepada seluruh penduduk Bukit Anatarabangsa,” katanya

Laporan peta bencana ini membutirkan senarai kawasan cerun dan pembangunan cerun di seluruh Selangor. Ia juga menyenaraikan tujuh kawasan cerun berisiko tinggi.

Menurut Zuraida, penduduk berpendapat RM70 juta yang diberikan kerajaan Pusat untuk menaiktaraf lereng bukit perlu dibelanjakan dengan cermat dan sebaik-mungkin berdasarkan kepada laporan peta bencana.

Kes Bukit Antarabangsa ini adalah satu kes petanda yang mana agensi kerajaan yang terlibat sama ada kerajaan pusat mahupun negeri harus meneliti secara satu kes demi satu kes.

“Ia tidak boleh diselesaikan atas dasar sama rata, mereka tidak boleh melakukan begitu berdasarkan apa yang dipohon dan dilalui,” katanya.

Sementara itu Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, beliau akan membawa rintihan mangsa berkenaan kepada pengetahuan Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya rasa pihak berkuasa terutamanya kerajaan persekutuan boleh memberi bantuan hasil daripada rayuan mereka.

“Saya sendiri secara sukarela akan membawa perkara ini kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Sementara itu, satu jawatankuasa terdiri daripada penduduk akan ditubuhkan untuk mengkaji hasil laporan kejadian tanah runtuh yang berlaku 6 Disember tahun lalu.

Manakala sebuah jawatankuasa lagi bertindak meneliti cadangan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim supaya kerja-kerja menyelenggara lereng bukit dipertingkatkan.

No comments

Powered by Blogger.