Rakyat Bukan Muslim di Malaysia: Satu Cabaran Buat PAS

Oleh: amanlegend

"Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada warga Muslim. Itulah peraturan di Malaysia. Sekiranya ada warga bukan Muslim cuba menyebarkan agama mereka kepada warga Muslim, mereka mungkin akan terpaksa berhadapan dengan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, adalah tidak salah, malah digalakkan, bagi warga Muslim menyebarkan Islam kepada bukan Muslim. Pelbagai agensi kerajaan, seperti PERKIM dan YADIM, menyokong usaha da’wah Islamiyah secara terbuka. Situasi ini seolah-olah mewujudkan dua kategori warganegara di Malaysia.

Kategori pertama ialah warga Muslim yang mahu berda’wah dan mereka akan disokong oleh kerajaan.

Kategori kedua pula ialah warga bukan Muslim yang juga mahu menyebarkan agama mereka, tetapi mereka diancam dengan pelbagai tindakan dan kecaman.

Apa yang pasti ialah agak sukar untuk kita menyatakan bahawa bertukar agama daripada Islam kepada agama lain adalah satu kesalahan. Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes yang mana individu Muslim mahu atau telah bertukar agama memohon mendaftarkan pertukaran agama di Pejabat Pendaftaran tetapi permohonan mereka ditolak atas pelbagai alasan.

Apa yang boleh diperhatikan ialah, sekiranya seseorang bertukar agama secara senyap-senyap, maka mereka bebas melakukan apa yang mereka suka. Tetapi masalah mula melanda sekiranya mereka mahu mendaftar agama baru mereka secara rasmi.

Sebahagian daripada umat Islam di Malaysia merasakan bahawa sekatan terhadap warga bukan Muslim daripada menyebarkan agama mereka adalah sesuatu yang mesti diteruskan. Malahan, ada yang mahu sekatan ini diperketatkan. Alasan mereka ialah sekatan ini akan membantu mempertahankan maruah agama Islam sebagai cara hidup yang benar.

Bagi saya, ini adalah alasan yang lemah.

Islam boleh berdiri sendiri.
Bagaimana mungkin Islam membuktikan kebenarannya jika "kebenaran" itu adalah hasil daripada tekanan dan sekatan terhadap penganut agama lain? Hanya agama yang lemah sahaja akan berselindung di sebalik topeng undang-undang yang menafikan hak penganut agama lain.

Sebagai seorang Muslim yang yakin sepenuhnya dengan kebenaran dan kekuatan Islam, saya kadangkala berasa malu apabila mendengar alasan yang dikemukakan oleh segelintir umat Muslim. Kegagalan mereka menguasai dan menghayati keagungan Islam menyebabkan mereka terpaksa mewujudkan dan menyokong peraturan yang jelas tidak adil kepada golongan bukan Muslim.

Cuba bayangkan apa reaksi kita sebagai umat Islam jika negara lain, contohnya Singapura atau Amerika, mewujudkan undang-undang yang sama. Cuba bayangkan apa reaksi kita jika negara negara itu menghalang umat Islam daripada menyebarkan agama Islam kepada orang Kristian, tetapi pada waktu yang sama menyokong sepenuhnya usaha mubaligh Kristian.

Saya yakin umat Islam akan bangun mempertahankan hak menyebarkan mesej Islam atas nama hak asasi manusia, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan sebagainya. Hakikatnya, itulah yang sedang berlaku di Malaysia – mubaligh bukan Muslim dinafikan hak mereka tetapi pendakwah Muslim pula disokong . Bukankah ini satu diskriminasi?

Melindungi sesuatu agama dengan menggunakan undang-undang memberi implikasi seolah-olah agama tersebut tidak boleh berdiri di atas kekuatan sendiri. Ia membuka ruang untuk Islam dianggap sebagai sebuah agama lemah yang tidak mampu mempertahankan diri sendiri.

Bagi saya, Islam adalah agama yang kuat yang diturunkan oleh Allah. Allah menentukan bahawa Islam pernah menakluk dua pertiga dunia dan Allah pasti akan mempertahankan agama-Nya. Apa yang penting ialah kita sebagai umat Islam mendalami ilmu dan mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, tanpa perlu kita menafikan hak-hak rakyat bukan Islam.

Walaupun Perlembagaan Malaysia mengakui Islam sebagai agama persekutuan, Perlembagaan Malaysia juga menjamin hak rakyat bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Sekiranya agama yang mereka anuti mengajar penganutnya untuk menyebarkan agama berkenaan, seperti sebahagian daripada misionari Kristian contohnya, bukankah sekatan terhadap mereka merupakan sekatan terhadap kebebasan mereka mengamalkan agama mereka sepenuhnya?

Kita tidak boleh menafikan bahawa sekatan terhadap mubaligh agama lain adalah seolah-olah sama dengan menyekat mereka daripada mengamalkan agama mereka.

Secara ringkasnya, halangan terhadap mubaligh agama lain daripada melakukan tugas mereka bukan sahaja salah dari segi moral, malahan ia juga merupakan satu penghinaan ke atas agama Islam. Halangan tersebut seolah-olah menyatakan bahawa Islam adalah agama yang lemah yang hanya boleh dipertahankan dengan cara menyekat kebebasan penganut agama lain.

Saya tidak nampak bagaimana sekatan ini boleh diteruskan jika sokongan terus diberi kepada agensi-agensi kerajaan yang tugasnya menyebarkan Islam. Ini merupakan satu diskriminasi terhadap rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam.

Penggubal dasar negara mesti menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat Malaysia yang semuanya mempunyai hak yang sama. Diskriminasi agama mesti dihentikan.

Jangan nafikan hak bukan Muslim.
Sebagai seorang Muslim, saya boleh memahami kehendak penganut agama Islam untuk mempertahankan kedaulatan Islam. Tetapi saya juga berkeyakinan bahawa kedaulatan Islam tidak wajar dipertahankan dengan cara menyekat kebebasan penganut agama lain.

Abul A’la Al-Maududi di dalam buku kecilnya bertajuk "Hak Asasi Manusia Mengikut

Islam" menyatakan bahawa:

"Sebuah Negara Islam tidak boleh masuk campur dalam urusan berkaitan hak-hak peribadi orang bukan Islam. Mereka mempunyai kebebasan penuh untuk beragama dan bebas untuk melakukan ritual dan upacara agama mereka. Bukan sahaja mereka boleh menyebarkan agama mereka, malahan mereka juga bebas untuk mengkritik Islam asalkan ia dilakukan dalam batasan undang-undang dan norma budaya". (diterjemah daripada Bahasa Inggeris)

Ini merupakan satu kenyataan yang amat berani daripada seorang ulama muktabar yang dihormati dan disegani. Kenyataan ini menunjukkan betapa Maududi amat yakin dengan kebolehan dan kekuatan Islam membela diri sendiri tanpa menyekat kebebasan penganut agama lain.

Selagi mana undang-undang dan budaya setempat dihormati, selagi itulah mana-mana agama termasuk agama Islam boleh dikritik dan selagi itulah juga mubaligh agama bukan Islam bebas melakukan tugas mereka.

Umat Islam pula perlu menyedari bahawa mempertahankan kedaulatan Islam perlu dilakukan dengan cara lain. Menyekat kebebasan penganut agama lain bukanlah jalan yang betul.

Jika aqidah umat Islam mahu dijaga, maka kita perlu memperbaiki sistem pendidikan kita. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam mendidik anak-anak. Islam juga mempunyai cara tersendiri untuk menangani gejala "riddah". Yang pastinya, cara tersebut tidak sedikit pun menghalang kebebasan orang bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka.

Cabaran Buat PAS.

Sebagai seorang yang telah sekian lama mengikuti perkembangan PAS, saya mahu mengakhiri penulisan ini dengan menyatakan satu cabaran kepada para pemimpin parti PAS.

Saya mahu melihat PAS menjadi sebuah parti yang mewakili suara rakyat Malaysia secara kesuluruhan, bukan berterusan menjadi sebuah parti sektarian yang hanya jaguh di gelanggang sendiri.

Saya mahu melihat PAS menjadikan Islam sebagai rahmat yang membebaskan manusia secara keseluruhan, bukan menjadi parti yang akan meneruskan tekanan dan sekatan ke atas rakyat bukan Muslim.

Saya mahu melihat PAS menjadi sebuah parti yang menjamin kebebasan setiap individu rakyat Malaysia tanpa mengira agama mereka.

Saya mahu melihat PAS menjadi sebuah parti yang benar benar yakin akan kekuatan Islam untuk berdiri menghadapi kritikan.

Dan paling penting sekali, saya mahu melihat PAS menjadi sebuah parti yang bukan hanya berani melaung slogan retorik dan gimik politik menjemput warga bukan Muslim menjadi ahli sedangkan tekanan dan sekatan ke atas mereka diteruskan.

Oleh itu, saya menyeru pemimpin PAS memulakan satu kempen memastikan penganut semua agama, Islam atau yang lain, benar-benar bebas mengamalkan agama mereka. Jika agama tersebut menuntut penganutnya menjadi mubaligh, maka perkara ini mestilah dibenarkan.

PAS mesti konsisten dalam hal ini. Sekiranya PAS menyokong hak seorang Muslim untuk menyebarkan Islam, maka PAS mesti juga menyokong hak mana-mana rakyat Malaysia untuk menyebarkan agama mereka.

Melindungi aqidah umat Islam mestilah dilakukan melalui proses pendidikan. Sekiranya undang-undang masih diperlukan, maka undang-undang tersebut mestilah tidak menyekat kebebasan orang bukan Islam.

Rakyat Malaysia adalah rakyat Malaysia dan semua warganegara mempunyai hak yang sama. Kita tidak mahu wujud rakyat kelas kedua semata-mata kerana mereka tidak beragama Islam.

Memetik sekali lagi kata-kata Maududi: "Bukan sahaja mereka boleh menyebarkan agama mereka, malahan mereka juga bebas untuk mengkritik Islam asalkan ia dilakukan dalam batasan undang-undang dan norma budaya"

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org) dan kini menetap di London.

No comments

Powered by Blogger.