Wakil Rakyat BN Lena Di Ulit Mimpi.

Oleh Nobisha

Bajet 2010 yang pertama kali dibentangkan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak diluluskan dengan majoriti tiga undi malam tadi, majoriti yang paling rendah dalam sejarah Parlimen Malaysia. Seramai 66 menyokong dan 63 tidak setuju. Barisan Nasional mempunyai 137 orang ahli Dewan Rakyat (seorang Speaker). Seramai 70 ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional gagal hadir ketika itu.


Sekiranya tidak kerana Najib dan Menteri Pengangkutan Dato' Seri Ong Tee Keat yang bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat, tidak mustahil bajet itu tidak diluluskan, atau kalaupun diluluskan, dengan majoriti satu undi saja -- seperti yang berlaku ketika undian pada peringkat jawatankuasa. Difahamkan Najib terpaksa meninggalkan satu majlis makan malam untuk datang ke Parlimen.

Penyokong Barisan Nasional boleh mengambil pendekatan menyalahkan pembangkang atau sesiapa sahaja bagi menjustifikasikan keadaan ini. Mereka juga boleh mencipta pelbagai alasan dan itulah yang cuba dilakukan oleh media massa (lihat Berita Harian muka 7: "Taktik Pembangkang Gagal". Namun, bagi saya insiden ini sekali lagi menunjukkan bahawa terdapat ramai wakil rakyat Barisan Nasional yang tidak mengambil berat tugas mereka. Cukup mengecewakan!

Apa yang berlaku ini mengingatkan kita kepada peristiwa yang membawa kepada penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Siputeh Dato' Abu Hassan Sharif oleh Speaker DUN Kedah. Ternyata, wakil rakyat Barisan Nasional masih tidak mahu belajar dari peristiwa ini.

Perlu disebutkan juga bahawa hal ini bukan saja berlaku di Dewan Rakyat, tetapi juga di Dewan Undangan Negeri. Sikap acuh tak acuh inilah yang menyukarkan Barisan Nasional untuk kembali memenangi hati rakyat yang kecewa dalam PRU12 dulu. Untuk berubah, Barisan Nasional usah menyapu masalah ini di bawah permaidani.

Saya berpendapat pemimpin dan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional hendaklah menyampaikan mesej yang jelas kepada ahli-ahli Dewan Rakyat : Apa yang berlaku pada malam ini tidak dapat diterima; walaupun atas apa alasan sekali pun.

Tempat anggota legislatif sewaktu dewan bersidang ialah di Parlimen -- bukannya di kawasan, di pejabat, di luar negara, di majlis keraian; apatah lagi di padang golf!

Masalah dengan sesetengah wakil rakyat ialah mereka tidak faham tugas hakiki masing-masing. Sesetengahnya menganggap tugas utama wakil rakyat sama seperti pegawai kebajikan masyarakat. Mereka berfikir rakyat akan mengukur kemampuan mereka menyelesaikan masalah orang miskin, longkang tersumbat dan berapa kerap mereka merasmikan mesyuarat PIBG atau memberikan sumbangan kepada kumpulan kompang.

Ya, itulah indikator yang digunakan suatu masa dulu. Hari ini rakyat Malaysia yang mempunyai kelas menengah yang besar meletakkan prestasi mereka sebagai anggota legislatif sebagai indikator utama - sejauh manakah mereka mampu membahaskan rang undang-undang di Dewan Rakyat, dan artikulatif terhadap apa saja isu-isau rakyat.

Najib hendaklah berani menggugurkan wakil rakyat yang tidak mampu memainkan peranan sebagai anggota legislatif yang baik dan menampilkan muka-muka baru yang lebih berkualiti dalam PRU13 nanti. Barisan Nasional sudah banyak bercakap mengenai perubahan dan rakyat menuntut untuk melihat ia dilakukan tanpa apologetik.

Saya fikir sebahagian wakil rakyat Barisan Nasional tidak menyedari bahana kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Mereka masih berasa kuat dan selesa seperti sebelumnya.

Nampaknya mereka masih lena diulit mimpi!

http://nobisha.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.