Alasan Mohsin keluar parti tidak kukuh: Nizar

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

IPOH: Kepemimpinan Pakatan Rakyat Perak berpendapat alasan yang diberikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak kukuh dan cuba menyembunyikan fakta sebenar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata alasan bahawa rungutan mengenai penggunaan kalimah Allah kepada saluran dalaman parti yang tidak diendahkan

oleh kepemimpinan PKR tidak harus dijadikan sebab untuk Mohsin keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

"Jika beliau berpendapat kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam, isu ini perlu dibincangkan semula kerana ada nas yang menunjukkan Allah boleh digunakan oleh bukan Islam," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Selain isu kalimah Allah, Mohsin juga mengatakan beliau bosan dengan Pakatan Rakyat di Perak yang bertindak seperti merendah-rendahkan institusi kehakiman dan Raja-raja Melayu.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata pemimpin Pakatan Rakyat hanya menyatakan pendapat masing-masing berikutan beberapa keputusan mahkamah yang tidak mengikut duluan.

"Kami tidak pernah menghina institusi beraja kerana hak dan kuasa Raja-raja Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pakatan Rakyat bersetuju dengan institusi kesultanan yang kukuh.

"Mohsin sepatutnya berbincang dan membuat keputusan secara bersama, bukan bertindak keluar parti selepas pendapat peribadinya tidak dipenuhi," katanya.

Ahli Parlimen Taiping yang juga Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, pula berkata Mohsin sebenarnya sudah dinilai oleh kepemimpinan PKR yang menunjukkan beliau tidak berkhidmat secara berkesan sebagai wakil rakyat.

Katanya, Mohsin sedar beliau akan digugurkan daripada dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bertindak keluar parti.

"Pakatan Rakyat bersyukur Ahli Parlimen 'opportunist' seperti ini keluar sekarang kerana Pakatan Rakyat akan bersih dan menjadi lebih kukuh selepas ini.

"DAP masih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan bakal Perdana Menteri," katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.