Pemangku Raja Kelantan diharap ambil tindakan sewajarnya

KUALA LUMPUR 29 Mac – Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan), yang mewakili anak-anak Kelantan di perantauan, hari ini berharap agar Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra mengambil tindakan-tindakan sewajarnya berdasarkan hak dan kuasa baginda berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.

"Kami memohon ampuni perkenan YMM Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Perlembagaan negeri Kelantan supaya memastikan negeri Kelantan berada dalam keadaan harmoni,” kata Presidennya, Datuk Dr. Noordin Ab. Razak dalam satu kenyataan.

Katanya, Pakatan melahirkan kebimbangan berhubung keadaan kesihatan Sultan Kelantan dan keutuhan institusi Kesultanan Kelantan berikutan penyiaran kenyataan-kenyataan yang mengelirukan di media dan Internet.

Sehubungan itu, Dr. Noordin berharap agar Pemangku Raja Kelantan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah memastikan kesihatan Sultan Kelantan terjaga dan diberi rawatan sewajarnya oleh doktor-doktor pakar.

"Melantik panel doktor pakar supaya membuat pemeriksaan lanjut ke atas KDYMM Al-Sultan dan membuat laporan tepat mengenai status keadaan KDYMM Al-Sultan supaya kami tidak tertanya-tanya akan keadaan sebenar tahap kesihatan KDYMM Al-Sultan,” katanya.

Sambil melahirkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Sultan Kelantan dan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Noordin berkata, tindakan tegas oleh Pemangku Raja adalah perlu untuk menegakkan perlembagaan dan undang-undang bagi menghentikan kemelut yang berlaku supaya perlembagaan dan undang-undang Tubuh Negeri Kelantan terus dihormati. – Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.