Calon Hulu Selangor: PKR timbang sekitar 5 nama
Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 29 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mempertimbangkan sekitar lima nama yang telah disyorkan untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
“Kami ada terima tiga hingga lima nama. Pucuk kepimpinan akan mempertimbangkan nama-nama ini,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sambil melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili PKR akan berupaya mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor, Fuziah memberitahu pihaknya dijangka akan membuat keputusan muktamad mengenai bakal calon mereka selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, Ahad ini.
“Mesyuarat MPP akan diadakan 4 April ini, tetapi kemungkinan tidak akan diputuskan pada mesyuarat itu. Keputusan muktamad akan ditentukan selepas mesyuarat MPP,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Kata Fuziah, pihaknya yakin akan terus mengekalkan kerusi itu di bawah penguasaan PKR-PR disebabkan kelebihan beberapa faktor.
“Salah satunya kerajaan negeri diterajui kepimpinan Pakatan, di mana sebagai kerajaan yang memerintah rakyat boleh menilai program-program yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri.
“Saya yakin faktor kerajaan negeri pimpinan akan memberi kelebihan kepada kami untuk mengekalkan kerusi Hulu Selangor,” katanya lagi.
Selain itu menurut Fuziah, pihaknya juga yakin rakyat akan mengekalkan kerusi Parlimen dikuasai PR memandangkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dimiliki Barisan Nasional (BN).
Katanya, bagi membolehken suara pengundi terus didengar di peringkat pusat pengundi Hulu Selangor akan membolehkan PKR-PR mengekalkan kerusi Dewan Rakyat itu.
Semalam Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan memilih calon yang berasal dari Hulu Selangor untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil yang tarikhnya akan ditentukan Jumaat ini.
Khalid yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu langkah itu adalah salah satu strategi PKR untuk mendapatkan sokongan pengundi, sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Abdullah Sani pula berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat persiapan menghadapi pilihan raya malam tadi.
“Jentera pilihan raya akan digerakkan mulai hari ini dengan kerjasama PAS dan DAP... strategi-strategi awal sudah pun disusun,” kata beliau lagi.
Mengenai bakal calon pula kata beliau, pihaknya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk diputuskan.
“Banyak nama sudah disalurkan, oleh pelbagai pihak, kami ada syorkan nama. Begitu juga negeri dan bahagian... itu kita serahkan kepada kepimpinan untuk memutuskan,” katanya.
SPR akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!
No comments
Post a Comment