PRK Hulu Selangor: Muhyiddin Say No To Mat Taib!

BN tidak ketandusan calon

BENTONG 28 Mac – Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan calon berkelayakan untuk diketengahkan bagi mewakili parti itu merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN memiliki ramai pemimpin yang sesuai, tetapi calon yang dipilih nanti merupakan individu yang diterima baik oleh pengundi di kawasan tersebut.

“Dalam soal pemilihan calon, ia bukan perkara baru kerana setiap kali pilihan raya, asas yang sama digunakan dalam menentukan siapa yang selayaknya mewakili BN.

“Banyak kriteria dinilai sebelum calon diputuskan dan dalam hal ini, kita melihat ramai pemimpin yang sesuai sehingga menimbulkan dilema kepada pucuk pimpinan parti,’’ katanya dalam nada berjenaka.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon yang paling sesuai mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor nanti.

Terdahulu Muhyiddin menutup Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di Genting Highlands di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak Khamis lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008, Allahyarham memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi menewaskan calon BN, Datuk G. Palanivel.

Mengenai cadangan daripada UMNO yang ingin mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Muhyiddin berkata: ‘‘Saya tidak fikir Mat Taib setuju’’.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO dan parti komponen BN lain akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih menjadi Presiden MCA secara sah mengikut perlembagaan parti itu hari ini.

Katanya, perkara yang paling penting ialah memastikan MCA kembali menjadi sebuah parti kuat bagi meraih semula sokongan masyarakat Cina.

“Kita mahu MCA bangun semula kerana kekuatan parti ini penting dalam memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,’’ jelasnya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.