Umno Bukit Bendera Belakangkan Zahid

PULAU PINANG 29 Mac - Tindakan perletakan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bendera hari ini bagi membolehkan bekas ketua mereka, Datuk Ahmad Ismail untuk kembali menerajui bahagian berkenaan dilihat sebagai tamparan besar bagi Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang.

Semua 36 ahli jawatankuasa bahagian menandatangani surat perletakkan jawatan yang akan dikemukakan pada Mesyuarat Perhubungan Negeri Umno Pulau Pinang yang dijadualkan pada penghujung bulan April.

Menurut Ketua Bahagian Bukit Bendera, Abdul Jalil Ariffin mereka yang melepaskan jawatan menuntut supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan Ahmad memimpin semula bahagian itu.

Abdul Jalil yang ketika itu Timbalan Ketua Bahagian mengambil alih daripada Ahmad apabila beliau digantung keahliannya selama tiga tahun pada 10 September 2008 kerana membuat kenyataan berbaur perkauman bahawa masyarakat Cina adalah pendatang di negara ini dan tidak layak menuntut hak yang sama dengan Bumiputera.

Walau bagaimanapun Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 4 Disember 2009 memutuskan untuk menerima rayuan Ahmad dan sekali gus membatalkan hukuman penggantungan ke atas beliau.

Persoalan timbul samada tindakan 36 ahli jawatankuasa bahagian itu mendapat persetujuan atau restu Ahmad Zahid sebagai pengerusi perhubungan negeri.

Jika tidak adakah beliau berani untuk mengambil tindakan disiplin terhadap kumpulan tersebut yang membelakangkan serta tidak menghormati kedudukan ketua Umno negeri?

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.