Adun Bangi Naik Kuda Rasmi Program masjid?
Masjid Nurul Ihsan mengadakan beberapa kelainan bagi menarik masyarakat ke Masjid tersebut. Menurut Nazir Masjid Tuan Haji Ibrahim bin Haji Yusof, "Kedudukan masjid ini yang agak ke dalam, di pinggir kawasan perumahan, Taman Seri Cheras, Batu 10 menyebabkan masjid ini kurang dikenali. Usaha mengadakan karnival ini adalah salah satu cara menarik masyarakat berkunjung ke masjid ini."
Ketibaan ADUN ke masjid ini jam 9.30 pagi dan diminta menunggu dahulu di luar, sebelum masuk ke kawasan masjid agak mengejutkan. Pada mulanya ADUN menyangka untuk diarak oleh pasukan berkompang sahaja, iaitu dengan tibanya pasukan berkompang ke tempat menunggu. Rupa-rupanya pihak penganjur juga mahu mencipta kejutan dan kelainan. Setelah menunggu seekor kuda diiring pemandunya tiba ke tempat menunggu. Barulah ADUN memahami, bahawa ADUN dikehendaki menunggang kuda ke kawasan karnival di hadapan Masjid Nurul Ihsan. Pada mulanya ADUN ragu dan bimbang juga untuk menunggang kuda dengan pakaian baju Melayu bersamping selengkap boleh menyukarkan naik turun, lagi pula untuk naik ke belakang kuda begitu tinggi. Kerusi berlapis terpaksa dibawa hingga membolehkan ADUN berpijak dan menginjak ke atas melalui besi yang dimasukkan tapak kaki.
Selesai menaiki, pergerakan kuda diiringi pasukan kompang, tapi kuda nampaknya tidak bergerak lancar, tetapi memaling-malingkan badan, hingga ADUN tidak tetap di atas. Bila sampai ke hadapan masjid, sekali lagi terpaksa disediakan kerusi untuk turun. Kasut kanan ADUN terlekat pada besi memuat tapak kaki dan tercabut dan dikeluarkan untuk dipakai apabila turun. ADUN bertanya juga, mengapa susah-susah sangat bawa kuda ke upacara karnival? Jawab seorang yang mengiring, "Memang di sebelah kawasan masjid ada dipelihara kuda oleh pengusahanya dan disewakan untuk tunggangan.
Karnival masjid ini nampaknya memberi peluang kepada peniaga-peniaga berniaga di ruang-ruang yang disediakan. Misalnya terdapat gerai buku, pakaian, makanan, jus-jus pengeluaran tempatan, syarikat takaful, iklan kereta, jualan minyak wangi, makanan ringan, kek, mee dan sebagainya. Pada hari ini juga diadakan pemeriksaan kesihatan yang mana doktor-doktor dan kakitangani didatangkan dari Klinik Kesihatan Kerajaan di Cheras. Pada hari ini juga diadakan peluang menderma darah yang dikendalikan oleh bahagian Bank Darah Negara dari Kuala Lumpur. Sepasukan tentera muda lebih kurang tiga puluh orang datang dari Kem Tentera berdekatan menderma darah. ADUN sendiri dipelawa membuat pemeriksaan kesihatan dan memeriksa kandungan glukosa dalam darah. Keputusan yang didapati setakat ini semuanya masih normal.
Sebelum itu majlis perasmian diadakan secara formal di bawah khemah yang dsertai peserta-peserta lebih kurang lima puluh orang, manakala yang lain bersesak di kawasan karnival. Turut hadir Ustaz Durabi Mohd Amin selaku Wakil Tuan Kadhi Hulu Langat, Penghulu Mukim Cheras, En. Mohd. Ridhwan Khalid dan Tuan Haji Asmawi bin Tijo, Imam masjid dan para jemputan dan orang ramai.
ADUN di dalam ucapan, bersyukur kepada Allah, masjid yang dulu agak daif, kini bertukar menjadi bangunan yang tersergam indah. Dulu banyak halangannya bagi mengadakan kegiatan di masjid ini, iaitu semasa ADUN menjadi Wakil Rakyat di Kawasan ini (di bawah DUN Kajang), kini halangan-halangan sedemikian tidak ada lagi. Kita juga berterima kasih kepada masyarakat setempat, terutama yang bukan Islam menerima baik kewujudan masjid di kawasan ini. ADUN berharap pihak AJK Masjid memikirkan kegiatan kebajikan yang dapat memberi faedah kepada masyarakat di sekeliling masjid, tanpa mengira kaum. Misalnya mengadakan gotong royong membersih kawasan masjid dan perumahan tanpa mengira rumah orang Islam dan bukan Islam. Menziarah rumah ke rumah dan menyampaikan bantuan terutama kepada orang miskin, warga emas dan orang yang sakit tanpa mengira kaum dan agama dan menjemput oarng bukan Islam menyertai sambutan dan jamuan-jamuan yang diadakan oleh masjid.
ADUN merasa gembira mendengar maklumat ada keluarga bukan Islam tidak jauh dari masjid, menganut Islam, kerana sering mendengar kuliah dan pengajaran di masjid dan mengikutinya dari rumah mereka. ADUN berharap perlu difikir dan melakukan secara kreatif bagi menarik dan menyenangkan masyarakat di sekeliling yang secara kebetulan adalah ramai yang bukan beragama Islam, di samping yang beragama Islam.
Walau apapun ADUN berpendapat memanglah karnival satu cara menarik masyarakat datang dan mengenali masjid, tetapi kegiatan sedemikian berlaku hanya dalam sehari, kemudian berlalu. Kesannya amat terhad. Kegiatan yang paling utama ialah mengadakan kegiatan masjid yang begini indah dan terletak di atas tanah seluas dua ekar ini dengan mengadakan taqwim kegiatan setahun. Paling utama ialah pengisian bersifat keilmuan. Pengajaran-pengajaran hendaklah terus diadakan. Guru-guru jemputan hendaklah diadakan selain dari guru tempatan. Kegiatan kemasyarakatan juga mesti diadakan seperti sambutan-sambutan keagamaan, mengadakan kelas bimbingan, gotong royong dan sukan. Dengan kegiatan berterusan secara terancang insyaAllah dapat menarik masyarakat ke Masjid Nurul Ihsan ini. ADUN juga memaklumkan beberapa papan tanda ke masjid ini perlu didirikan sebagai makluman dan memudahkan orang, terutama yang baru datang menuju ke masjid ini.
Terdahulu dari itu Tuan Haji Ibrahim bin Haji Yusof, Nazir Masjid mengalu-alukan kedatangan ADUN dan para jemputan yang hadir. Beliau menerangkan sejarah terdirinya Masjid Nurul Ihsan yang kosnya RM5 juta, iaitu diasas pada tahun 2004 dan dibuka pada tahun 2006 dan boleh memuatkan 3,000 jemaah. Sekeliling masjid terdapat 10 buah taman dan 8 buah surau dengan 10,000 penduduk. Beliau juga menerangkan tujuan mengadakan Karnival yang dirasmikan oleh ADUN itu.
Sekian.
http://drshafie.blogspot.com/
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!
No comments
Post a Comment