Awas walaupun sedikit hujan katak banyak bermain!

Oleh Tan Sri Abdullah Ahmad

Katak adalah satu binatang amfibi, melompat-lompat dan pandai berenang. Ada beberapa peribahasa kita di mana katak menjadi bandingan: Alim bagai katak di tepi air – maknanya orang yang pandai atau kaya tetapi dia dan umum tidak mendapat faedah daripada ilmu/kekayaannya. Katak di bawah tempurung – pengetahuannya sangat sempit! Majoriti manusia begini.

Amfibi ini semenjak kemerdekaan lagi telah menjadi ‘istilah politik’: mereka yang membuat perubahan/pendirian politik yang tidak disangka setelah memenangi kerusi dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Dalam idiom politik kontemporari: dari PKR atau DAP kepada ‘bebas’ yang menyokong kerajaan seperti di Perak atau benar-benar ‘berdaulat’.


Katak atau lompat-melompat, pada asasnya, satu perkara yang terkutuk, menjelikkan, keji dan satu amalan buruk dulu, kini dan akan datang. Inilah persepsi ramai terhadap ‘lompat-melompat’ dalam dunia siasah. Tegas seorang cendekiawan di sebuah universiti, tanpa tiga ‘penghijrahan’ (istilah ini baik sedikit daripada ‘switching’ tempat atau melompat), BN mungkin terus parti pembangkang di Perak.

Impak ‘penghijrahan’ mula berlaku di Terengganu selepas kemenangan Pas pada tahun 1959. Kerajaan dipimpin oleh Daud Samad ditumbang dan diganti oleh kerajaan UMNO. Selepas itu berlaku pertukaran kerajaan di Sarawak awal 1960-an dan di Sabah lewat 1960-an dan selepas itu juga. Di Kelantan usaha serupa gagal pertengahan 1960-an. Di Selangor, Harun Idris diganti oleh Hormat Rafie sebagai Menteri Besar apabila ADUN UMNO/MCA ‘pindahkan’ sokongan mereka daripada Harun ke Hormat atas arahan Jalan Dato Onn (waktu itu tampuk pemerintahan). Ramai yang terlibat secara langsung masih hidup lagi. Mutakhir perubahan kerajaan dari PR ke BN berlaku di Perak.

Kebaikan ‘lompat-melompat’ atau ‘penghijrahan’ ada juga; kata orang: mereka ‘realist’; ada juga tuduhan mereka ‘opportunist’. Apa pun dalam sejarah kita – Ghafar Baba ‘berhijrah’ dari Parti Kebangsaan Melayu (PKM) yang diharamkan oleh penjajah British pada UMNO akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan disemadi di Makam Pahlawan. Aziz Ishak, Rahman Talib (juga dari PKM jadi menteri, Azahaari Taib (Timbalan Speaker Parlimen), Othman Abdullah (dari Pas ke UMNO) Timbalan Menteri dan Ketua Penerangan UMNO; Anwar Ibrahim (dari Abim masuk UMNO atas pujukan Dr Mahathir Mohamad) jadi Timbalan Perdana Menteri kemudian dipecat. Ibrahim Ali (dari Semangat 46) jadi Timbalan Menteri. Ini satu perarakan atau 'procession' yang bukan sembarangan! Dato Onn Jaafar (dari UMNO ke IMP dan Parti Negara jadi MP bagi Kuala Terengganu Selatan setelah beberapa kali gagal menjadi wakil rakyat dari Johor, negerinya sendiri); Lim Chong Eu (dari MCA ke Gerakan jadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama lebih dua dekad).

Sebenarnya kalau ikut Perlembagaan tidak salah bertukar kerusi. Kalau kita pandang secara objektif bukan buruk sangat bahkan ia satu permainan lama – Winston Churchill melakukannya dua kali. Berdasarkan pengalaman Churchill, tidak mustahil Ibrahim Ali satu hari jadi PM atau Zaid Ibrahim . Bak kata Mat Salleh – (of course, Anwar Ibrahim). Anwar cuba terlalu awal tanpa persediaan kukuh – agak gopoh – memancing MP-MP BN melompat tetapi gagal sebaliknya PKR pula terus tergugat.

Kini empat MP PKR – Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru, Pulau Pinang), Tan Tee Beng (Nibong Tebal, Pulau Pinang), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai, Perak) dan yang dipecat – Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu, Kedah) telah bertukar jersi. Presiden Pas Asri Muda masuk UMNO dan meninggal dunia dalam UMNO. Tunku Abdul Rahman Putra (Semangat 46) juga Hussein Onn sebelum meninggal dunia.

Ahmad Boestamam, Ishak Mohamad (Pak Sako), Dr Burhanuddin Alhelmy, Dr Mahathir Mohamad dan Tun Razak tidak pernah keluar parti atau pakai jersi lain.

Dalam taman saya, ada katak yang mahu menjadi lembu, yakni cuba melakukan sesuatu melebihi kebolehan dan kesanggupan sendiri – dimakan ular! Di kebun saya pula ada kodok betung, kodok berwarna hijau, juga katak kembung, katak pisang dan katak puru. Apa pun masa hujan kedengaran bunyi suara nyaring mereka.

‘Kataklisme’ berleluasa selepas Pilihan Raya Umum ke-13 kecuali parti yang menang berjaya berbuat demikian dengan majoriti besar kalau tidak banjir besar politik atau ‘kataklisme’ mengamuk.

Kata seorang bijak bestari moden – “Waktu kecil dan budak kita taat kepada ibu bapa dan guru, masa muda pada prinsip dan isteri atau suami; setelah berumur pula kita taat kepada keadaan semasa atau kocek! (poket!)”

Tegas Jimmy Carter, bekas Presiden Amerika Syarikat: “ ujian sebuah kerajaan itu baik atau sebaliknya bukan kepopularannya dengan rakyat, manusia yang berpengaruh dan elitis tetapi bagaimana kerajaan itu secara adil dan saksama manfaat majoriti rakyatnya.”S/H

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.