Beranikah Perwakilan MCA Memilih Ong Tee Keat?

Ong Tee Keat bukan seorang pengecut. Buang masa saja bagi sesiapa yang cuba menggertak beliau. Presiden MCA yang sedang mempertahankan jawatan itu bukan keturunan tikus longkang yang sekali kaki hentak ke tanah, terus lari masuk lubang. Ong Tee Keat bagi saya pemimpin MCA paling berani yang pernah dilahirkan oleh parti terbesar Cina itu selepas Lee Kim Sai.

Saya belum nampak ada pemimpin MCA selepas era Lee Kim Sai seberani Ong Tee Keat. Sewaktu MCA bergelut antara Team A dan Team B sehingga ramai antaranya digugurkan oleh rakyat lewat PRU ke-12, Ong Tee Keat tetap berdiri teguh dengan pendirian yang tegas. Beliau mahu membawa reformasi kepada MCA. Beliau mahu MCA bebas daripada pengaruh luar yang menekan sepanjang masa. Beliau sedar MCA boleh bertapak semula di hati orang Cina dengan satu syarat. Syarat itu ialah MCA mesti berani menyuarakan masalah orang Cina, bukan hanya reti mengangguk kepala. Perbuatan mengangguk kepala tidak bertempat dan bersebab dilihat sikap pengecut. Tiada mana-mana bangsa yang bermaruah di muka bumi mahu dilihat pengecut. Begitu jugalah dengan orang Cina. Mereka mahu dilihat berani – bukan berani berlawan, tetapi berani menuntut hak sama rata selaku warganegara sebagimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaik memegang tampuk kepimpinan MCA, Ong Tee Keat terus menunjukkan sikap berani sebagaimana dikehendaki masyarakat Cina iaitu menyelak tingkap PKFZ. Ramai terkejut besar. Tiada siapa sangka Presiden MCA seberani itu. Mereka ingat semuanya sama. Mereka silap. Setelah tingkap diselak, pintu pula hendak dibuka. Akibatnya, Ong Tee Keat ditimpa tsunami besar – konspirasi menyingkirkan beliau daripada Presiden MCA. Kalau dibiarkan, ramai jerung akan terseret dan terkandas di PKFZ.

Namun, Ong Tee Keat tidak selemah yang disangka. Liatnya umpama urat betis lembu jantan. Pemimpin MCA sedai ada dengan bantuan beberapa ketul gerombolan tak berjaya menedang beliau keluar. Maka, terpaksalah pergi menjemput pesara politik, Ong Ka Ting datang membantu. Hebat sangatkah Ong Ka Ting?

Hebat atau tidak, sekarang perang mulut antara dua Ong sudah bermula. Cerita-cerita pelik juga kedengaran, termasuk cerita Ong Tee Keat akan mengundur diri. Janganlah mengarut. Orang seperti Ong Tee Keat tak akan berundur sebelum bertarung. Itu bukan prinsip beliau. Acap kali beliau bertegas akan membawa wajah baru pada MCA. Jikalau perwakilan mahu melihat MCA berwajah baru, mereka patut mengekalkan Ong Tee Keat.

Akan tetapi perwakilan parti komponen BN tidak begitu berani. Mereka sedar Ong Tee Keat bukan berdepan dengan Ong Ka Ting dan Chua Soi Lek sahaja, bahkan berdepan dengan pucuk pimpinan BN. Dalam Mesyuarat Agung MCA yang baru lepas, Pengerusi BN tak hadir dengan alasan MCA masih “kacau-bilau” walaupun sebab sebenarnya tak sukar diteka.

Pengalaman saya bersama parti komponen BN, perwakilan sangat takut untuk menafikan kehendak pucuk pimpinan BN. Misalnya, sewaktu Anwar Ibrahim baru dipecat dahulu, istilah “kroni” dan “nepotisme” dilarang disebut dalam ucapan perwakilan kerana takut menyentuh perasaan PM ketika itu. Bimbang menimbulkan kemarahan beliau. Betapa tidak “bertelurnya” perwakilan parti komponen BN (bukan semua) walaupun dalam hal-hal melibatkan masa depan parti sendiri.

Mungkin kerana sikap penakut itulah parti komponen BN semakin lemah. Hanya keturunan yang kuat dan berani mampu kekal lama di muka bumi.

Jadi, untuk kekal lama perwakilan MCA tak boleh takut untuk memilih calon yang disukai dan diyakini mampu membawa sinar kepada MCA. Menolak pemimpin berbakat semata-mata kerana tidak “direstui” pemimpin parti komponen BN lain bukan langkah yang bijak.


http://satumalaysia.wordpress.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.