CUBAAN KUCAR-KACIR ISTANA KELANTAN

Wan Nik Wan Yussof.

Perkembangan semasa yang menyentuh isu-isu dalaman Istana Kelantan nampaknya sudah diarusperdanakan oleh pihak tertentu. Ia mencetuskan persepsi tertentu sebahagian rakyat dan khalayak umum. Atas perkembangan itu, sebahagian rakyat menjunjung kebaktian yang tidak terhingga kepada institusi raja dan istana.

Berikut adalah sekadar catatatan dan ulasan yang dapat saya zahirkan untuk penelitian umum.

Usaha ke arah mewujudkan keadaan kucar-kacir politik Kelantan nampaknya tidak pernah reda. Terbaru, muncul lagi mainan pihak tertentu disiarkan Utusan Malaysia (19 Mac 2010) atas tajuk “Sultan batal sambutan hari keputeraan,” kononnya pihak Sultan Kelantan membatalkan kesemua upacara sambutan ulang tahun ke-60 pada 30 Mac ini, termasuk majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri.

Berdasarkan kenyataan media beredar itu, ia telah dibacakan oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya telah selaku Setiausaha Sulit Sultan Kelantan. Namun, kenyataan tersebut telah disanggah pihak Pejabat Sultan (Utusan Malaysia, 20 Mac 2010) oleh Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad Abdul Halim.

Jawatan SU Sulit tidak sah

Menurut Abdul Halim, “kesahihan kenyataan itu dipertikaikan kerana pihak istana tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan tiada pelantikan jawatan itu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).”

Ekoran daripada itu (Utusan Malaysia 20 Mac 2010) pihak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Wan Hashim yang mendakwa dirinya Setiausaha Sulit Sultan, tidak perlu dipatuhi. Pihak kerajaan negeri ada caranya sendiri untuk mengadakan majlis tersebut.

Kenyataan Menteri Besar itu selari dengan pendirian Pengelola Diraja Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad. Sebagaimana kenyataan dikeluarkan Abdul Halim bahawa sambutan sempena hari keputeraan Sultan Kelantan akan diteruskan seperti yang dirancang. Ini bermakna, sambutan tetap diadakan secara sederhana dengan majlis berbentuk keagamaan termasuk solat hajat di beberapa buah masjid di seluruh negeri ini.

“Begitu juga dengan majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sehingga ke hari ini tidak ada maklumat acara tersebut dibatalkan,” katanya.

Abdul Halim turut dipetik kenyataannya bahawa kenyataan oleh Wan Hashim amat mengelirukan dan tidak benar disebabkan kuasa pentadbiran negeri ini adalah di bawah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Sepatutnya, beliau selaku Ketua Pejabat dan Pegawai Pengawal Istana menerima maklum terlebih dahulu.

Namun apa yang berlaku, “saya tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak bahawa Wan Hashim dilantik sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dan Tengku Shah Buddin Tengku Mohd. Maasum sebagai Ketua Istiadat Diraja Kelantan,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), Datuk Ismail Mat Noor turut mengesahkan kenyataan Abdul Halim (Utusan Malaysia, 20 Mac 2010) bahawa sehingga hari ini pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai Setiausaha Sulit kepada Sultan dan Ketua Istiadat.

Justeru itu, kemunculan Wan Hashim adalah watak yang diaktifkan semula. Mungkin ia boleh disabitkan sebagai suatu perancangan untuk kucar-kacir keadaan dan untuk mencabar institusi pentadbiran istana diketuai Abdul Halim. Maka, munasabahnya Abdul Halim mengambil suatu tindakan wajar, demi membuktikan tunggak kuasa Pemangku Raja tidak digugat.

Menurut rekod, Wan Hashim Wan Daud adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang pernah terpalit dengan krisis pentadbiran kerajaan negeri. Sementara Tengku Shah Buddin Tengku Mohd. Maasum juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang mempunyai rekod bersih dan selepas itu dilantik sebagai Ketua Istiadat Diraja Kelantan dan telah tamat perkhidmatannya pada 14 Ogos 2009.

Wajar dibuat laporan polis

Sehubungan itu, keputusan tepat pihak Pengelola Istana Kelantan, Abdul Halim membuat laporan polis pada 19 Mac mengenai peristiwa “kenyataan media yang diedarkan (18 Mac) oleh Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan.

Bagi Abdul Halim, ia tidak boleh dibiarkan kerana kesahihan kenyataan Wan Hashim itu boleh dipertikaikan dan mengelirukan orang ramai, di samping rakyat Kelantan amnya telah mengetahui bahawa Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan oleh Majlis Perajaan pada 24 Mei tahun lalu mempunyai kuasa untuk menentukan pelantikan jawatan itu.

Sekadar mengingati khalayak, Mahkamah Tinggi melalui penghakiman Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof pada 29 Januari lalu dalam kes Tengku Muhammad Fakhry memohon perisytiharan mengenai perlucutan keanggotaannya dalam Majlis Perajaan, bahawa dalam Perkara 5, Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan telah menjelaskan peranan Pemangku Raja untuk menjalankan kuasa-kuasa yang perlu tanpa sebarang had. Mahkamah mendapati bahawa kes itu tidak boleh diadili, maka mahkamah telah mengesahkan keputusan Pemangku Raja adalah berasaskan kuasa yang sah.

Pemangku Raja penguasa sah

Berdasarkan rentetan peristiwa tersebut, jelas kini telah ada pihak tertentu di belakang watak Wan Hashim yang sedang menggunakan sudut istana untuk mengadu-domba kuasa yang kini terhimpun di bawah Pemangku Raja. Jika begitu dilihat, amat malang bagi pihak tertentu dan individu seperti Wan Hashim sedia menjadi ‘pelakon’ semata-mata untuk ditonton di pentas yang kelam dan berasap.

Hakikatnya, Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan sudah mengabsahkan tunggak kuasa itu sedang diurus di bawah Pemangku Raja. Apakah daya yang ada, pihak-pihak lain mengungkit dan meraih-raih tunggak itu. Melainkan, ia berlaku di dalam suasana sedar dan berniat tidak baik terhadap Pemangku Raja.

Harapnya, seluruh rakyat sedia akur dan memberi ketaatan yang tiada sedikit pun ugah kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Semoga Tuhan Yang Esa merahmati kebaktian rakyat untuk Tuanku Pemangku Raja.

(Penulis adalah SETPOL MB Kelantan)

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.