Gadis bawah umur ‘dikenduri’ bekas kekasih, tiga lelaki lain

KLANG - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bukan sahaja dirogol bekas teman lelaki malah turut ‘dikenduri’ tiga lagi lelaki lain dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sungai Sireh, Sri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, mangsa sebelum itu keluar rumah bersama tiga lagi rakannya kira-kira jam 7.40 malam tanpa pengetahuan keluarga.

Mangsa seterusnya tidak pulang ke rumah sehingga menyebabkan ibu mangsa khuatir akan keselamatannya dan meminta bantuan jiran berhampiran bagi mengesan anak perempuannya itu.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa kemudiannya ditemui di sekitar kawasan perumahannya dalam keadaan yang tidak terurus, lemah dan tidak bermaya kira-kira jam 5.45 pagi.

“Ibu mangsa memaksa anaknya itu menceritakan perkara sebenar dan mangsa memberitahu dia dirogol empat lelaki selain di lehernya turut menemui kesan ‘gigitan cinta’,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang di sini, semalam.

Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu dikatakan bertemu dengan bekas kekasihnya dikenali sebagai Syah yang berusia dalam lingkungan 20-an dan mangsa seterusnya mengikuti lelaki itu pulang ke rumah.

“Suspek tinggal dengan keluarganya dan kita percaya selepas merogol mangsa, lelaki itu bertindak memanggil tiga lagi rakannya merogol mangsa secara bergilir-gilir,” katanya.

Beliau berkata, sejurus menerima laporan polis daripada ibu mangsa, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki termasuk bekas kekasihnya itu manakala seorang lagi masih diburu.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.