http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=2722

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyifatkan sebagai karut alasan yang diberi oleh mereka yang berpaling tadah
keluar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

"Alasan yang diberi oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng kerana keluar dari KEADILAN perlu dianalisa," kata Zaid kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, "sama ada sebab-sebab keluar parti itu sahih atau tidak, kita akan mengkajinya dalam parti. KEADILAN dan Datuk Seri
Anwar Ibrahim bukannnya sempurna dalam segala segi.

"Jika kamu keluar kerana kamu tidak berpuas hati dan tidak merasa gembira, tiada apa yang boleh kita lakukan," jelas Zaid.

Beliau menekankan bahawa jika ahli-ahli parti mempunyai masalah atau isu-isu yang hendak dikemukakan, jalan penyelesaiannya ialah dengan
berbincang masalah-masalah itu, bukannya dengan meninggalkan parti. Zaid menggunakan dirinya sebagai contoh, di mana beliau sendiri tidak
semuanya bersetuju dengan pendirian parti berhubung beberapa isu.

Beliau menjelaskan, "saya mempunyai pandangan sendiri bagaimana parti harus menangani beberapa perkara. Saya mungkin tidak bersetuju
sepenuhnya tapi saya menggunakan berbagai ruang yang disediakan oleh parti untuk mengemukakan pandangan saya."

Ditanya sama ada peningkatan jumlah ahli-ahli parlimen bebas seperti Tan dan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, akan membuka ruang kepada
kemunculan "kuasa ketiga" di Parlimen, beliau ketawa dan menolak kemungkinan itu.

Menurut beliau, walaupun mereka mendakwa mereka adalah ahli parlimen bebas, mereka tidak akan bersikap berkecuali apabila tiba masanya.

"Mereka bukannya bebas, mereka bebas hanya pada nama saja. Lambat laun mereka akan menyokong Barisan Nasional. Lihat kepada tiga
"katak" di Perak.

"Jelas mereka akan menjadi wakil rakyat yang mesra-BN, jika tidak, apa lagi sebab mereka meninggalkan Pakatan Rakyat," soal Zaid.

Tan merupakan ahli parlimen terakhir dari KEADILAN, selepas Zahrain (ahli parlimen Bayan Baru) yang juga membuat keputusan meninggalkan
KEADILAN.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin juga keluar parti KEADILAN Ahad lalu sementara bekas setiausaha agung
KEADILAN, Datuk Salehuddin Hashim mengesahkan beliau keluar parti dua minggu lalu.

KEADILAN mempunyai 29 ahli parlimen dan selepas mereka ini keluar parti, jumlah ahli parlimen Pakatan Rakyat telah berkurang kepada 80
berbanding Barisan Nasional seramai 137 orang.

Dua komponen lain dalam Pakatan, DAP mempunyai 28 ahli parlimen dan PAS dengan 23.

Bagaimanapun, Zaid tetap optimis mengenai masa depan KEADILAN. "Saya percaya, tidak akan berlaku ahli-ahli keluar secara beramai-ramai dari
parti. Kami kini semakin kukuh, kuat dari segi sokongan rakyat yang mengundi Pakatan.

"Jika mereka mahu keluar parti, alhamdulillah, sekiranya sebab-sebab yang diberi tidak munasabah dan tidak benar," katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.