Mampukah Najib Mengurangkan Pelepasan 40% Karbon?

Soalan YB Rembau kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini menarik saya untuk membuat komentar ini. Rembau bertanya tentang strategi dan langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Najib di Conference ‘Climate Change’ Copenhagen, Denmark bulan Disember 2009.

Najib berjanji untuk mengurangkan pelepasan 40% karbon ‘in term of emissions intensity of GDP’ pada tahun 2020 berbanding 2005 (sebagai baseline). Terkini mengikut United Nations, Malaysia melepaskan 187 juta tan setiap tahun atau bersamaan 7.2 juta tan setiap warga negara ini.Meskipun Menteri telah menyebutkan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam pelbagai kegiatan ekonomi seperti aktiviti penjana kuasa, kenderaan automotif, pengilangan dll yang seluruhnya berakhir dengan pelepasan karbon, tegasnya adalah pelepasan karbon adalah berkadar langsung dengan kegiatan ekonomi sekaligus GDP atau KDNK.

Dengan kata lain, untuk Najib berjanji mengurangkan 40% pelepasan karbon intensiti nisbah KNDK/GDP, sedarkah Najib bahawa kurang lebih, negara hanya boleh melakukan pertumbuhan sebanyak 2.5% setiap tahun sahaja. Apakah ini satu yang realistik dan menasabah. Bukankah mengikut Najib sendiri bahawa negara perlu tumbuh sebanyak 6.5%, paling tidaknya, untuk selama 10 tahun supaya negara mencapai negara maju atau sebagai NIC (New Industrilaised Country) pada 2020.

Disamping segala kegiatan ekonomi yang bersifat ‘carbon-emitting’ yang membakar bahan fosil, penggunaan tanah gambut pula dalam perladangan kelapa sawit menghapuskan mekanisme ‘carbon-trapping’ secara tabii.

Nyata bahawa Perdana Menteri secara mudah-mudah membuat janji nampaknya, sehingga Ahli Parlimen Rembau tidak dapat mengelakkan dari menyebut bahawa beliau juga sangsi akan matlamat pengurangan itu sebgai satu yang tidak realistik dalam soalan tambahan beliau. Ini meletakkan janji-janji yang dibuat oleh Najib semacam tidak difikirkan secara tuntas atau ‘thought through’.

Saya tidak berpeluang bertanya Menteri, dalam soalan tambahan, apakah kerajaan BN ini, pertama-tama telah komited dan punya satu tekad untuk menghayati ‘budaya pemikiran lestari’ yang perlu wujud pertama-tama di kalangan pimpinan negara dahulu dan warga pendidik, sebelum negara ini mampu memacu satu konsep pembangunan yang mapan, lestari dan mesra-alam.

Hanya dengan kesediaan ‘minda lestari’ ini serta pelaburan dalam R&D maka pembangunan dan inovasi teknologi hijau sebagai wasilah untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana, holistik dan bersepadu mampu dijana. Berdasarkan kayu ukor ini dan kedudukan prestasi semasa serta ‘ekosistem minda’ yang masih di takok lama, saya cenderung untuk bersetuju dengan YB Rembau bahawa komitmen Najib untuk mengurangkan 40% pelepasan karbon adalah tidak realistik.

Najib perlu merujuk kepada khidmat pakar-pakar tempatan dan juga pengalaman negara lain sebelum beliau membuat janji yang sebesar ini. Kalau tidak ia menjadi omongan kosong yang kemudian akan dimungkiri dan dipersalahkan pelbagai pihak lain.


http://drdzul.wordpress.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.