Negara asing tidak yakin institusi kehakiman Malaysia

KUALA TERENGGANU – Desakan sekumpulan Ahli Parlimen Australia agar kerajaan gugurkan pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai rasa tidak yakin negara asing kepada institusi kehakiman negara.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, soal campur tangan asing tidak seharusnya timbul kerana perkara utama desakan itu adalah mengenai pelaksanaan undang-undang Malaysia tidak diyakini.

“Tidak timbul soal campur tangan tapi (sebaliknya) rasa bimbang terhadap sistem undang-undang kita setelah Anwar sebelum ini tidak mendapat keadilan apabila beliau dipenjarakan ketika kes liwat pertamanya dulu.

“Persoalannya sekarang adalah sistem kehakiman dan undang-undang kita sedang dipertikaikan oleh pihak luar,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas desakan 50 Ahli Parlimen Australia agar tuduhan itu digugurkan.

Menurut Dr Syed Azman, perjalanan kes liwat Anwar berlangsung dalam keadaan penuh meragukan sebahagian besar rakyat negara ini dan keadaan negatif itu akhirnya menarik perhatian negara luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok itu berkata, atas sebab itu beliau percaya lebih banyak lagi negara asing khususnya negara Islam akan menyuarakan bantahan terhadap tuduhan liwat itu kepada negara.

Katanya, keadaan itu bukan perkara mengejutkan kerana pelbagai pihak khususnya rakyat sendiri kini sudah hilang kepercayaan terhadap pelaksanaan undang-undang di negara ini.

“Bagi mengelak campur tangan asing, kerajaan kena perhebatkan sistem kehakiman negara supaya lebih telus dan tidak ada sebarang penguasaan daripada pihak yang mempunyai kepentingan khususnya orang politik.

“Malah, mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap badan tersebut juga kini merupakan sebahagian daripada manifesto pakatan pembangkang untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.