Penangguhan GST Kemenangan Rakyat

KUALA LUMPUR 14 Mac - Parti Sosialis Malaysia menganggap keputusan kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan pada sidang Dewan Rakyat yang bersidang esok kerana takut kalah pada pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan menyifatkan ia sebagai kemenangan rakyat yang telah menentang cukai tersebut sejak 2004.

Justeru itu PSM mendesak kerajaan agar satu pungutan suara atau "referendum" diadakan berhubung isu GST dan bukan sekadar bercadang mendapatkan pandangan rakyat.

Disamping itu parti itu juga mahu cukai korporat dikekalkan pada tahap sekarang serta melaksanakan dasar gaji minima bagi golongan pekerja bagi memastikan jurang perbezaan upah dapat dikurangkan.

"Kami yakin keputusan menangguhkan pembentangan GST seperti mana yang diwar-warkan sebelumnya adalah kerana Barisan Nasional takut kalah samada pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi mahupun pilihan raya umum akan datang.Penentangan rakyat terhadap GST semakin meningkat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Arutchelvan berkata kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhubung keputusan kerajaan itu bererti pembentangan GST akan terus ditangguhkan.

Menyingkap sejarah cadangan perlaksanaan GST, Arutchelvan berkata kerajaan bercadang melaksanakan cukai tersebut seawal 2007 tetapi disebabkan penentangan dan protes oleh parti politik dan juga badan bukan kerajaan sejak 2004, ia terpaksa ditangguhkan.

Walau bagaimanapun kerajaan BN sekali cuba memaksa perlaksanaan GST sekali lagi apabila membentang Rang Undang-Undang untuk bacaan pertama.

Ia diluluskan semasa sidang Parlimen pada Disember 2009 dan pembentangan untuk bacaan kedua dijangka dilakukan pada sidang bermula Isnin ini.

"Kempen menentang GST mula mendapat perhatian dan memberi kesan serta momentum. Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa GST tidak boileh dilaksanakan pada masa sekarang kerana ia akan membebankan rakyat.

"Kerajaan cuba melobi dengan menggunakan media arus perdana tetapi kerisauan rakyat mengenai GST terus meningkat.GST adalah satu sistem yang direka untuk merompak golongan rakyat miskin dan merupakan agenda kapitalis," tegas beliau lagi.

Arutchelvan berkata usaha menentang perlaksanaan GST akan diteruskan sehingga cadangan cukai tersebut terus dikuburkan selamanya.

sumber


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.