PKR tidak halang YB lompat parti

SHAH ALAM, 2 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh menghalang mana-mana wakil rakyat atau individu yang berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai parti politik lain.

Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemikiran dan hak setiap individu dalam membuat keputusan perlulah dihormati.

“Kita tidak boleh menghalang pemikiran individu, mungkin mereka suka bersama dengan kita tetapi mereka tidak akan terus bersama dengan kita.

“Apa yang penting ialah sikap bekerjasama kerana sebagai satu kumpulan dalam politik, sekiranya mereka tidak lagi percaya kepada kumpulan maka adalah sukar untuk terus bersama. Jadi saya rasa, kita perlu menghormati keputusan mereka,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan Pelancaran Fasa Ketiga Kempen Perlembagaanku, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PKR Selangor akan mengambil langkah menghalang wakil rakyat yang berhasrat untuk lompat parti.

Ia susulan kenyataan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim yang mendakwa seramai 10 ahli wakil rakyat parti itu akan keluar parti.

Menurut Abdul Khalid, isu keluar dan masuk parti adalah perkara yang biasa berlaku dan bukan hanya melibatkan PKR.

“Saya rasa perkara ini memang banyak berlaku, bukan sahaja PKR, parti-parti lain pun banyak ada.

“Di dalam politik, kita mesti menjangkakan perkara ini. Sama seperti pasaran saham, ia akan meningkat dan menurun, bahkan risiko dan ganjaran juga sangat tinggi,” katanya .

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, parti Reformasi tidak mempunyai satu sejarah yang panjang, justeru akan terdapat perbezaan dari awal penubuhannya.

“Reformasi ditubuhkan di atas satu usaha untuk menegakkan keadilan tetapi terdiri daripada beberapa kumpulan, oleh sebab itu, kemantapannya perlu melalui masa.

“Ada sesetengah (individu) merasakan perjuangan mereka tidak akan tercapai melalui Keadilan dan ada sesetengah merasakan mereka akan masuk Keadilan untuk mencapai cita-cita politik mereka, kedua-duanya akan berlaku,” katanya.

Beliau berharap isu keluar parti di kalangan pemimpin-pemimpin akan segera selesai sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai salah seorang daripada mereka yang menduduki majlis tertinggi, saya berharap perkara masuk atau keluar parti oleh pemimpin-pemimpin dapat berjalan dengan cepat kerana kita berharap keputusan boleh dibuat, supaya tidak mengganggu pilihan raya yang dijangka diadakan tahun hadapan.

“Apa yang berlaku ini bukanlah satu perkara yang baik, apa yang saya boleh katakan ialah perkara ini berlaku pada masa yang tepat, namun saya tidak bermaksud bahawa mereka membuat keputusan yang salah, mereka mempunyai hak untuk membuat pilihan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan tujuan individu berkenaan mengambil keputusan itu atas alasan tertentu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid sudah menjangkakan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin menyertai UMNO.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid turut mengulas mengenai salah seorang kakitangan Universiti Industri Selangor (Unisel) yang didakwa terlibat dengan kes memperkosa seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, dua tahun lalu.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah Unisel sudah membincangkan perkara itu dan memutuskan untuk membenarkan individu berkenaan meneruskan khidmat di institusi tersebut.

“Kita mendapati adalah perlu untuk mengambil pertimbangan bahawa beliau, boleh menjalankan tugas menjaga Unisel dan perkara yang kita ketahui itu tidak mengganggu kerja yang beliau lakukan.

“Dia tidak dibawa ke mahkamah atau didakwa,kita mengambil keputusan membenarkan dia terus bekerja, tidak adil memberhentikan hanya kerana spekulasi, dia tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah,” katanya.

Katanya, individu berkenaan turut memaklumkan kepada beliau bahawa dia bersedia untuk melepaskan jawatan itu sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

“Pegawai itu memberitahu saya bahawa jika dia didakwa, oleh kerana akan membebankan Unisel, dia bersedia untuk meletakkan jawatan. Itu pun belum diputuskan tetapi dia akan lakukannya.

“Oleh itu, saya berpendapat, dia patut diberi peluang untuk berkhidmat kepada institusi itu,” katanya. - SinarHarian

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.