Politik perkauman: Satu kesilapan besar – Zaid

Oleh Zainal Abidin Nor
KUALA LUMPUR: Kesilapan besar dalam sistem pemerintahan di negara ini berpunca dari sikap tolak ansur para pemimpin Umno- Barisan Nasional (BN) dalam menerima pakai doktrin politik berdasarkan perkauman.

"Politik berdasarkan ras atau etnik ini merupakan suatu amalan yang bahaya hingga boleh memecah belahkan perpaduan dan hubungan kaum," kata Penyelaras Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim sebagai ahli panel dalam satu forum di sini malam tadi.

Beliau yang juga bekas menteri undang-undang berkata, "oleh sebab pentadbiran Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengamalkan politik perkauman maka beliau tidak dapat menjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci.

"Konsep 1Malaysia ini merupakan suatu igauan sahaja. Pernahkah anda mendengar penjelasan daripada Najib atau Rais Yatim mengenai konsep 1Malaysia?," soal beliau.
Mengenai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) beliau berkata, DEB mempunyai dasar yang baik iaitu membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Zaid berkata, "Saya tidak fikir masalah yang wujud disebabkan oleh udang-undang atau dasar ekonomi yang digubal oleh kerajaan tetapi masalahnya terletak kepada ketelusan dan sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan undang-undang itu.

"Tanpa perbincangan dan uraian tentang sesuatu dasar itu maka akan mencetuskan benih-benih penyalah gunaan kuasa oleh pemerintah apabila pelaksanaan sesuatu program itu dibuat.

"Untuk menghapuskan dasar-dasar perkauman yang menjadi tembok pemisahan selama 53 tahun ini maka kita perlu menukar kerajaan Umno-BN yang sedia ada," ujar beliau.
Seorang lagi ahli panel, Dr Kua Kia Soong dari Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), mengingatkan para peserta bahawa dasar perkauman (racism) merupakan satu isu yang besar dan bahaya.

Menurut beliau, stereotaip rasis di negara ini tidak berdasarkan kebenaran yang bersifat objektif yang telah ditanam sejak zaman awal negara mencapai kemerdekaan lagi.

Berliau berkata, "Stereotaip yang terpahat di minda kita ialah bahawa orang-orang Melayu itu malas, orang-orang Cina tamak dan orang-orang India tidak boleh dipercayai." Kajian oleh ‘Merdeka Centre’ pula mendapati sebanyak 58% daripada orang-orang Melayu, 63% Cina dan 43% India percaya bahawa orang-orang Melayu memang malas.

Sebanyak 71% orang Melayu, 60% Cina dan 47% India percaya bahawa orang-orang Cina bersifat tamak dan rakus dalam perniagaan bertujuan untuk mengaut keuntungan semata mata.

Sementara, komposisi kaum yang mempercayai bahawa orang-orang India adalah etnik yang tidak boleh dipercayai terdiri dari 64% Melayu, 58% Cina dan 20% orang-orang India sendiri.

Mengenai persepsi bahawa orang-orang India tidak boleh dipercayai, Dr Kua berkata, inilah sebabnya Adun Sungai Rapat Hamidah Othman menyatakan dalam dewan bahawa "jika kita jumpa ular dan orang India maka kita hendaklah bunuh orang India dahulu.
Beliau kesal walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun, kita masih bercakap tentang kaum dan sekarang ini kita perlu bermula dari "Year Zero" sebagai sebuah negara.

"Year Zero" menurut Dr Kua ialah satu istilah permulaan Malaysia sebagai sebuah negara baru di mana rakyatnya tidak dibatasi oleh sempadan perkauman, tidak dipisah-pisahkan dari sudut pemikiran, penggubalan dasar serta pelaksanaan program pembangunan.

Satu lagi kesilapan besar yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN ialah dengan menafikan hak Orang Asli di negara ini dan malangnya golongan masyarakat yang terpinggir ini tidak dikategorikan dalam berbilang bangsa.
"kita orang asli juga mempunyai hak dan kami menuntut pengiktirafan dalam pemilikan tanah adat," kata Tijah Yok Chopil, pengasas Jaringan Kampong Orang Asli Malaysia dari Bidor.

Ketika menyampaikan hujahnya sebagai ahli panel ketiga, beliau berkata, "kami telah lama jelak dan bosan dengan sikap kerajaan kerana selama 53 tahun hak-hak kami diinjak-injak dan kami dipinggirkan dari pembangunan.

"Sebab itu, mereka (Orang Asli) marah dan berdemonstrasi di Putrajaya bagi membantah dasar kerajaan Umno-BN berhubung pemilikan tanah adat," jelas beliau.
Menurut Suara Keadilan, lebih 4,000 Orang Asli dari seluruh negara berkumpul di hadapan pejabat Perdana Menteri pada 17 Mac lalu untuk menyerahkan memorandum, yang di antara lain membantah tindakan kerajaan melantik senator bagi mewakili mereka, tanpa pengetahuan mereka.

Lebih 200 peserta menyertai forum bertajuk "Menyelak Kotoran Di bawah Karpet Perkauman" anjuran Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS). Turut dilancarkan ialah buku bertajuk "Sweeping Dirt Under The Carpet" dengan lakaran kartun oleh Zunar.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.