Abdullah Badawi 2010 Masa Depan Yang Gagal Mendarat

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

“Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

“Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara,” ujarnya pada sidang media di lobi Dewan Negara, tengah hari ini. Turut serta ialah Senator Mohd Yusof Husin dan Senator Mumtaz Mohd Nawi. Menurut beliau, Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan. Perkara 2 juga, menurut Mahfuz, membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, beliau menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Tambahnya lagi, walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, Mahfuz turut mempersoal tindak-tanduk kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Menurut beliau, dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

“(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

“Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan,” beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.

Ulasan Saya

1. Dalam isu penyerahan telaga minyak kepada Brunie yang semakin membengkak dari sehari ke sehari ini - saya terpaksa bercakap secara jujur dan amanah. Sesungguhnya kita perlu bersikap telus. Sekarang, sama ada kita mahu atau pun tidak - segala perjanjian dan dokumen yang melibatkan isu ini HARUS SEGERA DIDEDAHKAN secara umum - rakyat perlu dimaklumkan secara teliti dan berterus-terang tentang isu yang sangat kritikal ini.

2. Jika kita masih mahu menyembunyikan sesuatu - kita akan terus dikecam dan dikutuk dengan pelbagai kata kesat. Kita bimbang, jika benar penyerahan dua telaga minyak tersebut telah dipersetuju oleh Jemaah Menteri/Kabinet - maka, seluruh ahli kabinet yang menganggotai kabinet Abdullah Badawi pada Mac tahun 2009 - harus bertanggungjawab. Kita harus sedar BN sedang berhadapan pilihan raya kecil di Sibu, jika isu ini tidak diurus dengan baik, saya fikir Anwar Ibrahim bakal menjadi hero dan Parlimen Sibu pasti bertukar tangan.

3. Kita tidak mahu Kabinet DS Najid dituduh sebagai "Kabinet Pengkhianat Rakyat" gara-gara kita tidak mahu bersikap telus dalam isu ini. Malah, pada hemat saya - segala persoalan yang telah dibangkitkan oleh Tun Mahathir di dalam blognya - haruslah dijawab segera oleh pihak kerajaan dengan jujur dan telus, kerana isu penyerahan dua telaga minyak ini sudah menjadi isu nasional, dan memberi impak yang kuat ke atas hati rakyat. Silap haribulan BN boleh kecundang di Sibu. Apatah lagi pembangkang sedang ligat memainkan isu Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh Polis Shah Alam sebagai isu kekejaman Polis kepada rakyat, ditambah pula dengan kerugian yang berjumlah RM530 juta yang sedang ditanggung oleh Pos Malaysia berhad - merancakkan lagi tukang karut pembangkang untuk memanipulasikan sentimen yang sedia ada.

4. DS Najib harus sedar, krisis antara Abdullah Badawi dengan Dr. Mahathir masih berlarutan - ia belum lagi reda. Selagi masih timbul persepsi kononnya Dr. Mahathir telah membazirkan wang rakyat selama 22 tahun pemerintahannya - maka selama itulah juga Dr. Mahathir mahu membuktikan andaian tersebut adalah salah, melalui kegagalan dan pembaziran wang rakyat yang terlalu banyak dilakukan oleh Abdullah selama 4 tahun rejimnya berkuasa.

5. UMNO, DS Najid dan BN - tidak akan upaya lagi menerima hentakan politik yang sebegini rupaya. Kita akan dituduh sebagai parti yang menjual tanah airnya sendiri untuk kesejahteraan yang sementara. Saya menyeru kepada DS Najid, agar isu telaga minyak ini disiasat dan didedahkan kepada pengetahuan rakyat - jika tidak, UMNO dan BN pasti akan dihukum sekali lagi dalam pilihan raya umum yang akan datang!

6. Jika memang benar kita bersalah dalam isu ini - kita harus segera perbetulkan dan jika benar tuduhan Dr. Mahathir tidak berasas, maka kita harus mengemukakan buktinya. Jika isu ini terus-menerus menjadi tanda tanya kepada rakyat, maka selama itu jugalah kita akan difitnah dan tuduh sebagai pengkhianat dan juru jual negara. Saya rasa, kita perlu amanah dalam hal ini, jika Abdullah bersalah, maka beliau harus bertanggungjawab dan dosanya tidak perlu ditanggung oleh DS Najid mahu pun parti. UMNO dan BN tidak bersalah dalam soal ini - yang bersalah hanyalah pemimpin-pemimpinnya. Wallahualam.

http://azlishukri.blogspot.com/

1 comment

Lee lepih said...

Jangan salahkan BN atau UMNO? Apakah tiada siapa yang boeh dipersalahkan sekiranya berlaku kesilapan, pengkhianatan dan lain-lain? Kalau kita memilih pemimpin, pastikan dulu. Kalau tersalah pilih suami salah siapa agaknya? Yang memilih ke yang suruh pilih? Fikir-fikirkanlah. Betapa daifnya UMNO memilih pemimpin. Semuanya setuju beri, saya ulang beri, bukan jual...apa punya bodoh kabinet menteri ni. Hak rakyat dia berikan sesuka hati. Kalau sedekah pada Indonesia tu saya boleh faham kerana dia miskin dari Malaysia. Tapi Brunai ni bukan orang miskin. 10 kali kaya dari Malaysia. Apalah nak jadi ni? Tak payah-payah nak fikir kot. Kita undi aje apa RTM, TV2, TV3 suruh undi. Sebab bukan salah kita. hehehehehe

Powered by Blogger.