Umno-BN Sabah Rompak Harta Rakyat

KOTA BHARU 30 Mei - Rakyat Sabah menyifatkan tindakan Umno-Barisan Nasional menyerahkan dua padang minyak Blok L dan M yang berada di dalam perairan negeri itu sebagai satu rompakan terang-terangan yang menyebabkan rakyat kerugian RM16 bilion dalam royalti minyak.

Kedua-dua blok padang minyak tersebut dikatakan diserahkan kepada Brunei sebagai gantian menggugurkan tuntutan ke atas wilayah kaya minyak Limbang di Sarawak.

Pengarah Komunikasi KEADILAN Sabah, Ronnie Klassen mempersoalkan sekiranya BN benar-benar mahu membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat Sabah dan Sarawak mengapa Ketua Menteri Sabah membisu seribu bahasa mengenai kehilangan pendapatan daripada royalti minyak.

"Negeri Sabah dikatakan mundur dan miskin meskipun kaya dalam sumber asli. Dalam abad ke 21 apabila kemajuan canggih sudah dicapai dalam bidang teknologi maklumat masih ada rakyat negeri ini yang masih tidak tahu apa itu komputer. Kita masih ada jalan yang amat dhaif hinggakan orang utan pun tidak mahu menggunakannya," kata Ronnie sinis ketika ditemui pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2009 di sini.

Beliau berkata Wawasan 2020 ilham mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya tinggal 10 tahun tetapi tidak mungkin Sabah mencapai status negeri maju kerana keadaan infrastruktur dan sosioekonomi yang amat buruk.

"Sabah masih jauh ketinggalan di segi pembangunan tetapi Umno-BN masih impikan Wawasan 2020 mereka.

Rakyat Sabah tidak punyai pilihan lain kecuali menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Umno-BN dan tegakkan pentadbiran Pakatan Rakyat yang telus dan adil.

"Dalam konteks ini peranan yang dimainkan oleh golongan muda di Sabah amat penting dalam membawa arus perubahan yang amat diperlukan bagi menyelamatkan negeri itu," jelas beliau.

Ronnie berkata adalah mustahak golongan muda dibekalkan dengan maklumat yang betul dan tepat mengenai situasi politik dan ekonomi Sabah supaya mereka boleh menyebarluaskan informasi kepada rakyat.

"Jika gegaran tsunami politik 2008 tidak dirasai oleh rakyat Sabah dan Sarawak kini dengan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sibu lalu, gegaran itu sudah sampai di pesisiran pantai kedua negeri ini.

"Umno-BN kini keadaan amat takut kehilangan kuasa pada pilihan raya akan datang dan inilah masanya golongan muda perlu digerakkan di seluruh Sabah untuk membuat perubahan senario politik Sabah," kata Ronnie lagi.

Beliau mencadangkan agar setiap cabang KEADILAN di Sabah menubuhkan biro penerangan yang mantap dan aktif bagi menggalas tanggungjawab besar ini.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.