PRU-13: Pakatan yakin tembusi undi Melayu luar bandar, kata Anwar

Oleh G. Manimaran dan Shazwan Mustafa Kamal



PETALING JAYA, 26 Mei — Sambil menyifatkan persepsi orang Melayu semakin memihak kepada Pakatan Rakyat (PR), perikatan berusia dua tahun ini sedang menyusun strateginya memfokus pengundi Melayu luar bandar dengan menembusi kubu Umno pada pilihan raya umum ke-13.

PR berpendapat petanda-petanda sokongan orang Melayu kepadanya makin jelas di Hulu Selangor dan Sibu walaupun ramai selama ini beranggapan ia banyak bergantung pada sokongan Cina dan India.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR kini semakin mendekati pengundi-pengundi Melayu, selain kaum-kaum lain meskipun komponen utama BN, Umno telah menyemai pemikiran “takut dan khuatir” di kalangan orang Melayu sehingga menyebabkan mereka menolak PR selama ini.

“Saya merasakan lapangan persaingan lebih (tertumpy) kepada orang Melayu,” kata beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui sempena Kongres Nasional Keenamnya hujung minggu ini.

Awal minggu ini Penasihat DAP Lim Kit Siang memberitahu bahawa PR akan mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat untuk memperluaskan kejayaan mereka di Sabah dan Sarawak.

PR, dianggotai PKR, PAS dan DAP ditubuhkan secara formal selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Ia masih dalam proses pendaftaran.

“Saya boleh mengatakan oleh kerana Umno memainkan sentimen perkauman, dengan kuat menyemai sikap wasangka di kalangan orang Melayu, tidak selamat (di kalangan mereka)... kita perlu kembali kepada orang-orang Melayu, di kawasan orang Melayu dan cuba meyakinkan mereka,” kata Anwar dalam temu bual dengan The Malaysian Insider ini.

Anwar mendakwa salah satu sebab mengapa Umno berjaya mempengaruhi orang-orang Melayu di kawasan luar bandar supaya menolak PR adalah kerana menguasai maklumat menerusi media arus perdana dan televisyen.

Keadaan itu dengan sendirinya, kata beliau, telah mencetuskan Lpersepsi seorang dan tembok besar” antara orang Melayu dan PR.

“Kami tiada media kecuali kemungkinan The Malaysian Insider (ketawa) tetapi media arus perdana tidak membantu kami. Kami kena bekerja kuat dan kami kena pergi turun menemui mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menambah, apabila berpeluang menerangkan keadaan yang sebenar, mereka dapat memahami situasi yang sebenar.

“Bagaimanapun masalahnya ialah kami tidak diberikan ruang untuk mendampingi mereka, kita disekat,” katanya lagi.

Bukti sokongan majoriti orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) adalah jelas ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

Kerusi itu dimenangi oleh wakil MIC P. Kamalanathan, menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR dengan majoriti kecil.

BN memperoleh sokongan besar dari kawasan-kawasan Felda manakala pengundi Cina, kebanyakannya dari kawasan bandar mengekalkan sokongan kepada PR, malah ada peningkatan berbanding pilihan raya umum 2008.

Oleh itu tegas Anwar, perkembangan Hulu Selangor adalah satu bukti di mana PR perlu memperoleh sokongan untuk menjamin kemenangan bersih dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ya, lihat (perkembangan di Hulu Selangor, yang saya katakan ialah kami berjaya melakukan lebih baik di Kuala Terengganu, kami berjaya mempertahankan dengan baik di beberapa kawasan.

“Kami cuma ada masalah di kawasan-kawasan yang dikuasai (oleh Umno) seperti Felda Sungai Tengi di mana undi beralih kepada mereka,” katanya.

“Lihat di kawasan Felda Sungai Buaya, di mana RM50,000 diberikan dua hari sebelum (hari pengundian) pilihan raya kecil,” katanya lagi.

Bagaimanapun Anwar menekankan, PR sudah pula mula menembusi lapangan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Menurut Anwar, sokongan orang Melayu kepada PR pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu baru-baru ini bukti pembangkang peringkat persekutuan ini mula melangkah untuk mendapatkan lebih banyak sokongan orang Melayu.

Beliau mendakwa bahawa sokongan orang Melayu-Melanau bagi PR-DAP telah meningkat sehingga 30 peratus.

“Kami memperoleh (lebih banyak undi orang Melayu) sebagaimana kita lihat di Sibu, sokongan orang Melayu-Melanau bagi DAP meningkat berbanding 10 hingga 13 peratus ketika pilihan raya umum (2008).

“Ketika pilihan raya kecil, dalam tempoh dua tahun (sejak Mac 2008), kini kami telah meningkatkan kepada 30 hingga 40 peratus sokongan Melayu-Melanau.

“Ini bermakna jika anda bekerja keras, dan menembusi kawasan-kawasan ini, kami ada kapasiti untuk (memenangi pengundi Melayu),” kata Anwar sambil mendakwa beliau “percaya dan yakin dengan kebijaksanaan massa.”

Bagaimanapun ketua pembangkang ini mengingatkan PR bahawa pihaknya tiada masa yang “lumayan” untuk mencapai sasaran itu.

Katanya, pihaknya sudah ada usaha untuk menyepadukan sokongan daripada negeri-negeri di Semenanjung.

Kata Anwar, PR sedang berusaha untuk memperkuatkan asas sokongan di negeri pentadbiran mereka seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang sebelum memperluaskan usaha menguasai Perak dan juga Melaka.

“Kami perlu melihat perkara ini dengan segera, kami perlu melihat kemajuannya setiap bulan.

“Kepimpinan negeri harus menggerakkan agenda ini... kami perlu menyepadukan Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, kemudian bergerak untuk memperoleh semula Perak.

“Di Melaka, kami telah mengadakan satu program di mana ia berjaya di kalangan orang Melayu dan juga orang Cina... saya yakin selagi kami mendapat ruang peluang yang kecil untuk (mereka) mendengar.

“Itu sebabnya matlamat Umno ialah menutup semua pintu yang boleh (bagi kami mendampingi orang Melayu),” kata Anwar.

Bekas timbalan perdana menteri menambah, kelebihan PR berbanding BN ialah “keupayaan mengadakan dialog terbuka dan madani.”


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.