Isu telaga minyak dan Limbang: Di mana hak rakyat, kedaulatan dan ketelusan?

ISU penyerahan dua telaga minyak kepada Brunei oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri menjadi kontroversi apabila mantan Perdana Menteri sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkannya dalam blog beliau. Saya menemui Profesor Dr. Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan mengenai isu-isu perlembagaan yang berkaitan.

Apa pandangan Profesor tentang pendedahan mantan Perdana Menteri keempat itu berhubung dengan penyerahan dua telaga minyak yang dikatakan berkait dengan pengguran tuntutan ke atas Limbang oleh Brunei?

Kita tidak tahu mengapa Mahathir membangkitkan isu itu. Apa pun isu Limbang ini sudah berlegar lama; bahkan pernah dibangkitkan oleh sebuah majalah Far Eastern Economic Review yang kemudian disaman oleh bekas Perdana Menteri itu. Mungkin beliau hendak mengipas isu lain yang boleh menyelamatkan dirinya yang menjadi mauduk utama buku Barry Wain yang mendakwa Mahathir membazirkan lebih RM100 bilion dalam tempoh 22 tahun pentadbirannya. Tak lama selepas buku itu terbit di Singapura. Mahathir kata Abdullah perlu bertanggung jawab ke atas wang lebih RM270 bilion yang diperolehi Petronas di bawah pentadbirannya antara 2003 hingga 2008. Bagi kita kisah dua orang ini tidak penting. Bagi rakyat apa yang berlaku dalam isu penyerahan telaga minyak sebagai mana yang didakwa itu melibatkan soal kedaulatan negara, soal hak rakyat dan seumpamanya.

Kedaulatan yang bagaimana? Apakah soal maruah atau soal hak rakyat yang kehilangan hasil negara yang begitu banyak, dianggap remeh?

Saya fikir semua sekali. Kedaulatan ini merujuk kepada integriti wilayah kita, maruah dan kehormatan negara. Rakyat berhak tahu mengapa dan bagai mana itu semua diserahkan? Perlembagaan kita menyediakan beberapa peruntukan; seperti perlunya persetujuan Dun berkenaan diperolehi jika sempadan negeri dirubah. Perkenan Majlis Raja-Raja juga perlu. Kita juga tidak harus lupa bahawa kerajaan perlu bertanggung jawab kepada parlimen; mereka perlu jelaskan apa-apa yang mereka buat. Tidak seharusnya sesuatu perkara yang begitu penting dibuat sembunyi-sembunyi di belakang tabir.

Jika begitu, apa tindakan undang-undang boleh diambil? Mahkamah yang mana? Maksudnya mahkamah kita atau mahkamah antarabangsa?

Hanya kerana ada isu-isu yang melibatkan perlembagaan tidak bermakna penyelesaian terbaik semestinya di mahkamah. Kedudukan undang-undang disebutkan di sini untuk menekankan betapa ada peraturan dan batasan tertentu yang perlu dipatuhi. Dalam pada itu apa yang mahkamah kita boleh buat? Selama ini dalam kes-kes yang kritikal seperti ini mahkamah akan mencari jalan untuk membenarkan apa-apa yang sudah dibuat. Kalau isu PPSMI yang begitu jelas di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pun boleh diterbalikkan, apa lagi isu yang sulit melibatkan soal telaga minyak dan sempadan negeri ini. Mengenai mahkamah antarabangsa saya fikir susah. Jangan lupa kekalahan kita dalam kes Batu Puteh dengan Singapura. Lagipun isu ini melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan Brunei akan menggunakan kedudukan ini.

Kalau begitu apa jadi dengan konsep Persekutuan kita? Maksudnya kalau Persekutuan boleh membuat perjanjian dengan negara lain dan memaksakannya kepada negeri, susahlah.

Soalan itu betul. Tetapi inilah masalah kita. Persekutuan mempunyai bidang kuasa dalam soal-soal hubungan luar dan boleh membuat undang-undang untuk menguatkuasakan persetujuan luar itu. Kuasa Persekutuan ini menyebabkan kedudukan dan hak negeri terancam kerana dalam kes ini agak jelas kedudukan dan kepentingan Sarawak diketepikan. Tetapi ini dibenarkan oleh Perlembagaan meskipun secara tidak langsung. Sebab itulah sebaik-baiknya keputusan dalam hal-hal yang seperti ini dibuat secara terbuka supaya tiada kesilapan dan kerugian di pihak rakyat.

Setelah tindakan undang-undang sukar untuk dibuat apa lagi yang tinggal kepada rakyat?

Ia sudah berlaku dan sekiranya tidak ada perselisihan antara Mahathir dan Abdullah kita tidak akan tahu isu ini. Saya fikir ini adalah isu politik yang perlu diperjuangkan; bawa kepada rakyat semua mereka tahu dan mengajar pihak-pihak yang terbabit. Mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja kerana negara ini adalah milik rakyat. Bukan segelintir pemimpin sahaja.

Pada pendapat Profesor, tidakkah Petronas mempunyai bidang kuasa menasihati dalam perkara ini?

Penyerahan itu sepatutnya dibuat dalam konteks pengetahuan dan nasihat Petronas selaku syarikat minyak negara. Petronas ditubuhkan oleh parlimen melalui undang-undang dan ia mempunyai peranan dan fungsi tertentu dalam carigali minyak dan lain-lain. Soalnya, apa kedudukan dan peranan Petronas dalam hal ini?

Jika diteliti, Perdana Menteri mungkin melanggar peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974. Bagai mana Profesor melihat kaitan ini?

Ya! Satu lagi, PM mungkin melanggar peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 itu dan ini elok di bawa ke mahkamah dalam bentuk permohonan perisytiharan. Kita memang ragu dengan kemampuan dan kebebasan mahkamah tetapi dari segi politik mungkin elok kita letakkan isu ini di hadapan hakim-hakim itu dan kita lihat apa mereka akan buat.Isu-isu ini dibangkitkan, kerana Perdana Menteri di sisi undang-undang mempunyai batasan dan tidak boleh berbuat sesuatu dengan sesuka hati, termasuk melanggar peruntukan undang-undang.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.