Anwar: ‘Saya percaya Khalid, pemimpin jujur’

Anwar yang juga Penasihat PKR mempertahankan Menteri Besar Selangor dengan berkata beliau, seorang pemimpin yang jujur dan bersih. — Gambar oleh Jack Ooi
KOTA BARU, 30 Mei — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan PKR mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dalam memastikan tadbir urus kerajaan negeri yang baik dan telus daripada sebarang rasuah.

Anwar yang juga Penasihat PKR mempertahankan Menteri Besar Selangor itu dengan berkata beliau, seorang pemimpin yang jujur dan bersih.

“Apabila seseorang bertanya kepada saya bagaimana saya mengukur kewibawaan seseorang, saya berkata adalah sukar bagi sesetengah orang bagi (mempunyai) seorang pemimpin yang bersih dan jujur... rekod perkhidmatan beliaum beliau seorang yang bersih dan tidak rasuah, yang lain-lain kita boleh perbaiki,” katanya.

Bagaimanapun Anwar mengakui bahawa negeri itu berhadapan dengan masalah dalam melaksanakan program pembangunannya kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya.

Anwar melahirkan keyakinannya itu selepas Khalid dan negeri pimpinannya menjadi fokus perbahasan perwakilan pada Kongres Nasional Keenam PKR yang berakhir petang ini.

Pentadbiran kerajaan Selangor dikritik hebat oleh para perwakilan PKR, dan antara gesaan utama yang ditimbulkan ialah usaha “memutihkan” jentera kerajaan negeri dan juga kegiatan rasuah.

Semalam, kepimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara menolak tangapan bahawa kedudukan Khalid tergugat ekoran pendedahan amalan rasuah urus niaga pasir dan juga kerana gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor bulan lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga telah membersihkan beliau daripada dakwaan rasuah yang dibawa tahun lalu.

PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat juga menegaskan, Khalid akan kekal sebagai pengerusi negeri itu.

Selain pucuk kepimpinan PKR, pemimpin DAP dan PAS juga menyatakan sokongan terhadap Khalid menerajui negeri itu pagi ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu, pihaknya meletakkan keyakinan penuh terhadap Khalid.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang memberitahu persoalan tentang kedudukan Khalid menerajui Selangor tidak timbul sama sekali.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKR tergugat ekoran isu dakwaan amalan rasuah dalam syarikat perniagaan pasir kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Dalam ucapan penggulungan hari ini, Anwar berkata Selangor mesti agresif untuk memastikan projek pembangunan di Selangor bergerak dengan pantas, terutama meluluskan projek.

Katanya, kerajaan Selangor perlu meneliti serta menghapuskan undang-undang dan birokrasi yang didapati melambatkan kelulusan projek.

Anwar juga menggesa Khalid supaya mengatasi masalah rasuah dan kelambatan projek pembangunan di negeri itu.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor berkata Selangor perlu mempercepatkan projek bagi menjana pembangunan ekonomi.

“Ada pihak yang mengatakan projek lambat mendapat kelulusan dan muka yang sama dapat projek. Jadi segala masalah ini perlu tindakan segera,” katanya.

Anwar berkata beliau menerima beberapa aduan mengenai isu itu dan perkara itu perlu dipandang serius oleh Khalid, dan perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi menjamin rakyat terus kekal memberikan mandat kepada PKR.

Anwar berkata Selangor memerlukan pembangunan ekonomi yang lebih rancak dalam tempoh dua tahun untuk mendapat kepercayaan rakyat bagi terus memerintah di negeri itu.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.