Krisis MIC: UMNO Lempar Batu Sembunyi Tangan?

Oleh: ROSLAN BIAN

Sendiri gaduh...orang lain yang dituduh.Pimpinan UMNO Selasa mahu S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu supaya segera berhenti mendakwa UMNO campurtangan dalam krisis parti itu dan terlibat dalam usaha menyingkir bapanya.
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yasssin dalam komen yang tegas meminta Samy Vellu supaya menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

"UMNO ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap," katanya.

Beliau yang ditemui wartawan selepas satu majlis dekat Muar meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.
Muhyiddin diminta mengulas tuduhan yang dibuat oleh Vell Paari terhadap UMNO menerusi sebuah laman web "Free Malaysia Today."

Dalam laman web itu, Vell Paari mendakwa UMNO menggunakan pendekatan "pembunuhan politik" untuk memecahbelahkan MIC.
Katanya Vell Paari merupakan seseorang yang mempunyai kepentingan dalam kemelut dalaman MIC kerana beliau merupakan anak kepada parti itu.

Apa pun, kata Muhyiddin, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengeluarkan kenyataan yang mahu melihat kemelut dalaman MIC itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam parti itu mestilah berdasarkan kepada dasar keadilan dan ketelusan.

"Sebagai pemimpin dalam mana-mana parti komponen BN, tidak kira mana parti sekalipun, sebarang permasalahan dalam parti mestilah diselesaikan secara adil dan saksama," katanya.

Muhyiddin berkata sebarang usaha untuk menyelesaikan permasalahan dalam parti mestilah mengikut perlembagaan dan prosedur parti.

"Sebagaimana yang dilakukan oleh kita di dalam UMNO, jika kita terpaksa bertindak memecat seseorang daripada parti, ia mestilah berdasarkan prosedur dan peraturan yang sedia ada dalam parti," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap parti komponen BN perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan segera supaya kedudukan BN yang semakin kukuh kini di bawah pentadbiran Najib dapat diteruskan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan UMNO sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa Umno melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali UMNO mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di Bangi Selasa.

Menurut Shafie, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika mana-mana pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.

"Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

"Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (UMNO) pula yang dipersalahkan," katanya.

Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah bt Hj Abd RAshid Shirlin dalam satu kenyataan menegaskan tuduhan Vell Pari kononnya UMNO menggunakan pembunuhan politik (political assassin) untuk memecah-belahkan parti komponen BN merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Begitu juga dengan dakwaan beliau yang menyatakan bahawa ketidaksamarataan menyebabkan kaum Cina dan India tidak memilih BN pada pilihan raya lalu dan bukannya disebabkan oleh soal kepimpinan dalam parti MCA dan MIC seperti yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.” Katanya.

Beliau berkata Pergerakan Puteri UMNO merasakan wujud satu trend yang amat jelas di kalangan parti-parti komponen BN yang cenderung untuk menutup kelemahan serta kesalahan mereka dengan meletakkan faktor kekalahan atau kehilangan sokongan ke atas bahu kerajaan yang dipimpin oleh BN.

“Dalam hal ini pemimpin MIC langsung tidak mahu mengakui kelemahan mereka sebaliknya cuba menuding jari kepada pihak lain dengan harapan boleh terus menerajui kepimpinan parti.

“Barisan kepimpinan MIC juga tidak mahu memperbaiki kelemahan yang ada sebaliknya terus-terusan menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebagai punca parti komponen itu lemah dan gagal mendapat sokongan kaum sendiri.

“Sedangkan amat nyata dalam piihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, Datuk Seri S. Samy Vellu telah ditolak oleh rakyat termasuk masyarakat India sendiri.
“Perkembangan terbaru dalam MIC juga menunjukkan sikap ala `diktator' pemimpin parti itu yang langsung tidak boleh ditegur dan sesiapa sahaja yang berbuat demikian akan dipecat.

“Bukankah sikap seumpama itu menunjukkan pemimpin yang lemah, tidak boleh menerima teguran dan menganggap diri mereka sahaja yang betul - di mana pemimpin yang mempunyai ciri sedemikian sepatutnya meletakkan jawatan dan berundur daripada parti secepat mungkin.

“ Ini kerana pemimpin yang mempunyai kredibiliti sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap profesional dalam menerima teguran atau kritikan.

Rosnah berkata Puteri UMNO juga percaya kenyataan VellaPaari `adalah sesuatu yang berbahaya jika `orang luar' terlibat (dalam urusan parti komponen) merujuk kepada UMNO secara khusus sedangkan adalah jelas tiada campurtangan UMNO dalam kemelut dalaman MIC dan perkara itu sememangnya diketahui umum.

Beliau menegaskan Vell Paari juga sepatutnya menarik balik setiap kenyataannya yang mengaitkan UMNO sebagai sebuah parti yang mendominasi setiap keputusan termasuk yang melibatkan komponen BN terutamanya MIC dan MCA sedangkan kedua-dua parti itu sendiri tahu pergolakan yang berlaku di kalangan mereka.

“Malah Puteri UMNO juga mahu anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu berhenti membuat kenyataan secara semberono semata-mata untuk mewajarkan tindakan bapanya memecat anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu semata-mata kerana desakan supaya beliau melepaskan jawatan.

“Sudah tiba masanya parti-parti komponen BN bermuhasabah dan menilai prestasi masing-masing dan memperbaiki kelemahan yang ada, bukannya menyalahkan pihak lain setiap kali ada masalah yang timbul terutama melibatkan gesaan supaya pucuk kepimpinan meletakkan jawatan.

“Pemimpin parti komponen termasuk UMNO sendiri mesti tahu kedudukan masing-masing sama ada diterima atau ditolak oleh anggota parti,”katanya.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.