Perjuangan KEADILAN Sejajar Dengan Prinsip Gautama Buddha

PETALING JAYA 28 Mei - Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan selamat menyambut hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia yang disambut hari ini.

Dr Wan Azizah dalam perutusannya berkata hari Wesak adalah suatu hari yang bermakna buat penganut agama Buddha bagi mengenangkan hari kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha.

"Gautama Buddha seorang anak putera di India ribuan tahun dulu telah memilih jalan susah untuk menemui makna hidup yang sebenar dengan menjalankan hidup seperti rakyat biasa.

"Selama 49 tahun Buddha menyebarkan ajaran dengan penuh kesabaran dan menjawab segala persoalan orang ramai dengan bersungguh-sungguh, tanpa kira agama dan lapisan masyarakat.

Menurutnya, sifat mulia dan kasih sayang sesama manusia yang didukung oleh Gautama sepanjang hidupnya merupakan prinsip yang penting diamalkan oleh seluruh anggota masyarakat dan ianya sejajar dengan nilai yang KEADILAN war-warkan selama ini iaitu menjaga hak dan kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin dan susah dijaga.

"Sebarang provokasi yang mendatangkan kemarahan terhadap kaum lain haruslah dibanteras sama sekali.

"Keadilan sosial dan perpaduan negara hanya dapat dicapai dengan adanya ruang demokrasi dan kebebasan untuk berdialog dan bukannya dengan menghina kaum atau agama lain.

Dr Wan Azizah turut meminta supaya ajaran agama Buddha yang menyanjung nilai insaniah dan menolak penindasan sesama manusia itu dihayati.

Tambah beliau lagi, KEADILAN tekad bersama dengan rakyat dalam perjuangan membebaskan negara daripada penindasan dan kezaliman sambil berharap keadilan,kesaksamaan dan demokrasi dapat dibangunkan.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.