Kita Punya Tongkat Sakti?

SATU - Ada yang sawan apabila saya menulis beberapa perkara yang dikategorikan ‘tidak memuji’ PAS Perlis. Saya diserang dengan keras. Seorang sahabat bagi tahu, “Orang marah dengan tulisan enta itu.” Saya diam sahaja.

Sebenarnya memuji tidak payah. Saya boleh menulis berjela-jela untuk memuji-muji mereka. Bahkan, saya boleh menulis untuk memberi gambaran kepada orang KL, orang Ipoh, orang JB bahkan orang di London, Afrika Selatan atau di Dubai bahawa PAS Perlis memang kuat, atau sangat kuat. PAS Perlis bakal memerintah Perlis selepas PRU 13 akan datang.

Jentera pilihanraya PAS Perlis mantap, siap-siaga, menunggu tiupan nafiri sahaja. Kewangan juga kuat, menunggu laci dibuka sahaja. Prasarana pilihanraya juga sudah sedia, menunggu di keluarkan dari stor sahaja. Bakal MB dan barisan exco juga sudah menempah baju Melayu, menunggu untuk disarung sahaja.

Adakah begitu yang dimahukan? Saya yakin pimpinan PAS Perlis juga tidak suka dengan pujian melampaui dos sebegitu. Apa ertinya pujian begitu, jika realitinya nil. Perlukah kita menjadi gendang, berdegar bunyinya tetapi hampa di belakang?

DUA - Saya menulis berdasarkan maklumat benar. Mengapa kita perlu takut dengan sesuatu yang benar? Mengapa kita perlu menganggap maklumat itu sebagai pekung? Mengapa kita perlu takut maklumat itu diketahui orang?

Adakah kita ingin menipu pengundi dengan maklumat palsu? Sampai bila kita mampu menyembunyikan kelemahan itu?

Dua DUN tidak menghantar langsung wakil ke program pelancaran jentera PRU 13 PAS Perlis baru-baru ini bukan rahsia. Saya mendapat tahu perkara ini daripada wartawan (bukan Malaysiakini), bahkan orang Umno pun tahu.

Bila diumumkan bahawa PAS Perlis sasar lapan kerusi dan berkeyakinan boleh menang di kerusi yang diwakili majoriti pengundi bukan Melayu jika mereka beralih angin sebanyak 70 peratus, saya yakin pemimpin dan ahli PAS yang hadir dalam majlis itu pun tidak konfiden dengan sasaran itu.

Kenapa? Kerana sasaran itu dibuat berdasarkan angka dalam keputusan pilihanraya yang lalu. Acuannya juga adalah acuan PAS negeri lain. Sasaran itu bukan dibuat berdasarkan realiti kekuatan PAS Perlis. Kekuatan PAS di negeri yang dijadikan acuan itu jauh bagai Kuala Lumpur dengan Kangar jika dibandingkan dengan Perlis.

Sebab itu saya katakan, PAS Perlis boleh menang dengan ‘miracle’.

TIGA - PAS parti masyarakat bukan parti ‘Tupperware’. Menguruskan manusia bukan macam menguruskan besen atau mangkuk plastik. PAS menguruskan pengundi dan pengundi adalah manusia bukan ‘makhluk berkaki empat’.

Bila PAS parti manusia maka PAS mesti punya kekuatan untuk menguruskan manusia. Bersedia mendengar suara manusia, bahkan bersedia untuk menangani apa jua kerenah manusia.

Kalau mendengar kritikan ahli sendiri pun PAS tidak sanggup, kritikan di dunia siber dianggap mendedah pekung, kritikan dalam muktamar dianggap biadap, kritikan di dalam usrah dianggap tidak wala’, lebih baik PAS jadi parti ‘Tupperware’. Mangkuk dan besen plastik sahih tidak akan mengkritik.

Kita beria-ia, bergembira, begitu teruja menerima sokongan bukan Melayu yang melimpah-limpah, itu bagus. Soalnya, adakah kita benar-benar bersedia (khususnya PAS Perlis) untuk menguruskan mereka? Bersediakah kita mendengar kritikan mereka, komen mereka, pandangan mereka? Atau, kita katakan saja kepada mereka, “Jangan kritik, kritik dikira buka pekung…” Begitu?

EMPAT - Saya katakan bahawa PAS Perlis perlukan figura awam, itu pekungkah? Selain YDP Kawasan Padang Besar (sekadar contoh), siapa lagi figura awam di Perlis?

Figura awam maksudnya mereka yang dikenali umum, bukan sahaja oleh aktivis PAS tetapi oleh segenap lapisan masyarakat. Dan, bukan sekadar dikenali kerana pandai ‘hemoi’ saja atau kerana kelainan bentuk fizikal, tetapi dikenali kerana kewibawaan ilmu dan kecekapan pengurusan peringkat tinggi.

Mengapa ini penting? Sebab kita uar-uarkan kepada umum bahawa kita akan menjadi kerajaan menggantikan Umno / BN.

PAS Perlis tidak boleh bergantung kepada momentum nasional semata-mata. PAS Perlis perlu membentuk momentu sendiri. Bergantung kepada momentum orang lain tidak kemana, tidak mampu bertahan lama.

Ingat, terutamanya pengundi bukan Melayu, mereka tidak semata-mata mengundi parti, mereka juga mengundi orang.

LIMA - Mahu saya puji? Aaah, tak perlulah. Kalau kita kuat, orang tak kata kita kuat pun kita tetap kuat. Tetapi kalau kita lemah, seratus orang memuji bahawa kita kuat, kelemahan akan terserlah jua. Kalau kita adalah pemimpin hebat, seburuk mana pun gambaran yang dibuat, kehebatan terserlah jua.

Kepada yang mengutuk saya, yang menggunakan perkataan ‘b****’, saya sangat berharap bahawa anda ‘bukan pemimpin PAS Perlis’. Kerana, kalau anda salah seorang daripada mereka, apatah lagi kalau nama anda tersenarai sebagai salah seorang calon PAS Perlis dalam PRU akan datang, saya boleh menjangka apa doa orang kepada anda.

Di bawah ini saya siarkan salah satu komen daripada pengunjung blog ini untuk tatapan semua.

* * * * * * * * *

Zaman mengkritik dalam usrah ke, dalam mesyuarat ke atau secara dalaman ke, saya rasa zaman itu sudah berlalu... (jgn pula menganggap saya tidak setuju dgn cara dalaman. Dalaman pun kena tegur, luaran pun kena buat juga kalau dah tak mau berubah!) Pimpinan PAS perlu berubah untuk menerima teguran walau dari sesiapa jua hatta daripada pihak musuh sekalipun! Kebenaran itu wajar diterima walaupun datang dari musuh dan kejahatan itu wajar ditolak walaupun ianya datang dari kawan yg sangat rapat. Bukankah itu yg diajar dlm Islam? Merujuk dalam sirah pun, kita akan dapat melihat kebanyakan teguran kepada khalifah hatta kpd rasulullah sendiripun dibuat di depan umum. Ini bukannya utk memalukan, bahkan inilah yg menjadi kekuatan kepada jemaah Islam ketika itu. Ini bukannya utk mendedahkan pekung, tetapi untuk menghilangkan pekung yg tumbuh disana sini agar tidak merebak dan menjangkiti orang lain. Kalau di zaman saidina Umar beliau sgt menghormati, menyanjungi dan berterima kasih kepada org yg sanggup membetulkannya dgn pedang (dikhalayak ramai pulak tu... kalau zaman skrg ni internet/blog/dsbnyalah...) masih adakah pemimpin PAS mcm tu skrg ini? Cuba muhasabah diri, jgn asyik meminta ahli sahaja bermuhasabah. Ust zol bercerita tentang kelemahan parti... beliau bukannya menceritakan tentang rahsia parti. Kalau dok cerita kita kuat, hakikatnya tidak... itu pun tak betul juga. Asyik mengharapkan kelemahan musuh, tetapi lupa kelemahan sendiri... itu lagi teruk. Apa program merakyatkan Pakatan Rakyat di Perlis?... ceramah je ke? Kuliah je ke? itu je modal yg ada? Mana pendekatan PAS dgn Keadilan dan DAP? PAS boleh menang sorang-sorang je ke? Mana dia program pendekatan PAS dengan org Melayu, Cina, India, Siam dsb? Itu yg sewajarnya pimpinan Perlis fikirkan. Jgn mengharapkan kemenangan dgn mencula seorang diri di rumah. Ramai ustaz2, profesional2 dr Perlis... tapi kemana mereka sekarang ini? Mana perginya Utz Abdul Aziz Hanafi? Utz Hassan Mahmud Alhafiz, Ust Hassan Din, Utz Hashim Yahya dll? Kenapa PAS Perlis tak manfaatkan tenaga-tenaga seperti ini? Sewajarnya Ust Hashim selaku Pesuruhjaya memikirkan sesuatu tentang mereka ini. Apa yg saya lihat seorang demi seorang menjauhikan diri dari saf pimpinan Perlis. Kenapa terjadi sedemikian rupa? Adakah mereka tidak sudi atau pimpinan yg ada tidak mau berundur memberikan laluan kepada yg lebih layak. Asyik2 muka lama yg jadi calon dgn alasan tak ada orang dsb. Alasan yg sangat dangkal! Bukan MARAH... NASIHAT...


http://sauhdibongkar.blogspot.com/2010/05/kita-punya-tongkat-sakti.html


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.