Bankrap: Kenapa subsidi jadi alasan

oleh Hazayani Zakaria

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta kerajaan mengkaji secara terperinci mengenai dakwaan risiko muflis yang akan dihadapi Malaysia menjelang 2019 jika kerajaan tidak mengurangkan pemberian subsidi.

Beliau berkata, selain daripada pemberian subsidi kepada rakyat seperti yang didakwa, banyak lagi faktor yang membolehkan negara menjadi muflis terutamanya melibatkan perbelanjaan kerajaan yang tidak dikawal dengan baik.


"Satu kajian yang mendalam harus dibuat. Kenapa subsidi yang diberikan alasan kebarangkalian negara akan bankrap sedangkan ada banyak lagi faktor penyumbang lain yang boleh mengakibatkan negara bankrap.

"Antaranya hal yang berkaitan dengan perbelanjaan yang berlebihan yang semacam tidak dikawal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan di Dewan Seminar Kohilal, dekat sini, hari ini.

Menyifatkan cadangan penarikan subsidi itu sebagai tidak munasabah, beliau mempersoal sikap kerajaan yang seolah-olah mengenepikan keperluan asas rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Isunya kenapa subsidi yang ada kaitan dengan keperluan kehidupan rakyat biasa sahaja yang dijadikan alasan negara akan jadi bankrap?

“Ini bagi saya satu perkara yang sangat tidak munasabah walaupun kita bukan mahu menjadikan negara ini negara subsidi tapi bagi saya alasan itu sangat tidak munasabah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, bahawa Malaysia akan muflis pada tahun 2019 jika kerajaan terus memberikan subsidi sebagaimana yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Bachok itu juga memberitahu, beliau akan membawa satu usul di Parlimen mengenai pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang akan dijual kepada syarikat swasta untuk dibangunkan sebagai hab komersial.

"Kita akan bawa berkenaan lapangan terbang Sungai Besi yang kan dijual. Kita akan minta justifikasi di parlimen selain daripada isu yang melibatkan tanah KTMB di Singapura dan telaga minyak di Limbang," katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa pangkalan TUDM Sungai Besi akan akan diubah suai dan dibangunkan sebagai hab komersial termasuk dilengkapi dengan pusat pendaratan helikopter


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.