Negara Bangkrap Bukan Kerana Subsidi, Tapi Kerana Rasuah Dan Judi

Kelantan adalah kemuncak siri demonstrasi aman hari ini, yang diadakan bagi membantah langkah kerajaan meluluskan lesen pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Selain Kelantan, empat negeri Melaka, Kedah, Perlis dan Selangor juga akan mengadakan demonstrasi seumpama itu hari ini.

“Kita memilih Kelantan sebagai kemuncak kerana kita akan mengadakan demonstrasi tersebut di pekarangan Masjid Repek, Bachok dalam kawasan Datuk Dr Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan).

“Kita mahu beliau bertanggungjawab dalam perkara ini dan pada masa sama mahu beliau meletakkan jawatan.

“Ini kerana beliau gagal memahami sensitiviti orang Islam dan rakyat yang mahu kelulusan lesen perjudian tersebut ditarik balik,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Demonstrasi akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Dengan kelulusan tersebut, pertaruhan secara sah boleh dilalukan sebelum kejohanan Bola Sepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Afrika Selatan berlangsung mulai 11 Jun hingga 11 Julai depan.

“Fokus kita tetap sama iaitu membantah kelulusan lesen judi, memberi kesedaran kepada masyarakat tentang implikasi judi dan mendesak kerajaan menarik balik kelulusan lesen judi tersebut,” kata Nasrudin.

Beliau berkata usaha-usaha membantah kelulusan lesen pertaruhan akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga kerajaan menarik balik lesen tersebut.

Minggu lepas lima negeri termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan telah mengadakan demontrasi sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

Nasrudin berkata setakat ini Dewan Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum kepada mufti di negeri Johor dan Kedah.

“Kita telah menyerahkan memorandum kepada dua orang mufti setakat ini dan selepas ini kita akan serahkan memorandum kepada mufti yang lain pula.

“Kita akan menggerakkan Dewan Pemuda PAS di setiap negeri supaya memorandum tersebut dapat diserahkan kepada semua mufti,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mahu Perdana Menteri dan kerajaan pusat menarik balik lesen perjudian bola sepak dengan serta-merta.

“Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi ini, Nasharudin berkata beliau percaya kerajaan pusat di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi,” katanya.

Katanya, langkah kerajaan yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek bulan lalu, yang memberi lesen perjudian bola sepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita. -TMI


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.