Alhamdulillah, UMNO sudah daulatkan Raja-Raja Melayu - Bhg 2

Apabila Malayan Union ditolak oleh orang Melayu dahulu kesemua Raja-Raja Melayu telah kembali mendapatkan negeri masing-masing dan memerintah dengan penuh kuasa seperti yang dahulu.

Setiap negeri-negeri tersebut merupakan negeri-negeri berdaulat dan Raja-Raja memerintah negeri-negeri masing-masing berhak mengutip cukai dan berbelanja membangunkan negeri serta jajahan masing-masing.

Jika Malayan Union itu tidak berjaya ditolak maka tidak wujud lagi negeri-negeri yang berdaulat dan akan hanya tinggal sebuah negara ‘Unitary”; tidak ada Selangor, tidak ada Negeri Sembilan, tidak ada Johor dan tidak ada negeri-negeri yang lain.

Kita harus faham kenyataan ini dahulu, sebelum kita boleh memahami kenapa pentingnya Raja-Raja Melayu kepada kita orang Melayu dan bangsa-bangsa lain yang telah menjadi rakyat Malaysia.

UMNO dan Mahathir tidak senang dengan kuasa yang ada pada Majlis Raja-Raja Melayu yang semasa itu mempunyai hak untuk menolak dan melucutkan jawatan PM.

Keadaan beliau yang tidak menentu menyebabkan beliau mencari jalan dan helah untuk mengurangkan kuasa Majlis Raja-Raja dan seterusnya melucutkan immunity dan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Kesempatan untuk bertindak untuk melakukan apa yang hendak dilakukannya sampai akhirnya apabila salah seorang dari anakanda Kebawah Duli Sultan Johor memukul jurulatih hockey yang saya lupa namanya.

Dari saat itu UMNO mendapat alasan untuk bertindak dan dari saat itu jugalah UMNO telah ‘melanyak’ kesemua Raja_Raja Melayu dan menggunakan media masa seperti Utusan Malaysia dan kumpulan The New Straits Times sebagai lidah UMNO mengutuk dan mempersendakan Raja-Raja Melayu.

Usaha yang dilakukan oleh akhbar-akhbar ini dilunaskan juga oleh semua stesyen Telivisyen termasuk TV3.

Oleh kerana nyamuk seekor dua maka seluruh kelambu dibakar dan institusi Raja-Raja diceroboh seperti menceroboh tempat persembunyian kominis didalam hutan.

Raja tetap raja. Raja-Raja Melayu tidak menjawab kerana baginda semua adalah Raja; masakan hendak berlagak seperti perlakuan ‘robust’ UMNO dan segala perlakuan ini dituntun oleh bukan sahaja oleh kita tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Kalaulah pindaan itu secara jujur untuk mendisiplinkan Raja-Raja, perlukah media massa dengan sewenang-wenangnya mebuat tuduhan fitnah kepada DYMM Yang diPertuan Besar NS dengan menyiarkan berita yang almarhum Baginda telah memberikan tanah baginda kepada taukeh Cina untuk memilihara babi?

Kenapa Dr Mahathir tidak dapat mengawal tindakkan tidak bersopan pemimpin UMNO dan media perdana?

Apa perlunya beberapa ahli Parlimen membuat kenyataan yang Raja-Raja Melayu patut diikat dan disebat dikhalayak ramai?

Apakah itu niat sebenar orang yang memimpin UMNO semasa itu? Sedangkan pegawai tinggi British yang hendak merampas kuasa Raja Melalui Malayan Union dulu pun tidak menekan Raja-Raja Melayu sebegitu rupa kenapa pula orang Melayu sendiri yang menekan Raja mereka dengan begitu hina sekali?

Dimana letaknya temaddun kita orang UMNO? Tidakkkah pemimpin semasa itu sedar apa yang mereka lakukan itu adalah penghinaan kepada bangsa kita sendiri?

Apakah ruginya pucuk pimpinan politik dan negara jika berunding secara jujur dan berakhlak dengan Raja-Raja Melayu dan apakah hanya pemimpin Melayu yang gehara sahaja yang wajib untuk melunaskan akhlak dan budi orang Melayu?

Usaha pihak eksekutif yang diterajui oleh UMNO untuk melakukan pencerobohan ketahap yang kemuncak ialah apabila Kabinet meluluskan cadangan pihak tertentu dalam UMNO untuk membawa pindaan-pindaan kepada klausa-klausa tertentu yang berhubung kait dengan kuasa Raja-Raja Melayu khususnya yang Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong

Setiap kerajaan negeri diminta membuat pindaan yang sama didalam Dewan Undangan masing-masing untuk melupuskan setengah dari kuasa yang ada kepada Baginda Raja-Raja Melayu setiap negeri.

Diantara Bab-Bab penting dalam perlembagaan yang dipinda oleh Parlimen ialah Bab 159 (5) dan dan 181 (2) yang mana kuasa untuk memayungkan orang Melayu dibuang dan dengan ini ianya menghilangkan kuasa Raja-Raja untuk menjadi benteng kepada orang Melayu.

Sesiapa sahaja boleh membolosi kedudukkan orang Melayu selama ini sebagai yang terkandung didalam kedua-dua Bab itu.

Jika selama ini orang Melayu ada mempunyai 9 kunci untuk membentengi orang Melayu sekarang kesemua 9 mangga dan kunci itu dibuang dan orang Melayu akan terkapai-kapai jika sesuatu yang buruk berlaku kepada bangsa kita.

Untuk memberikan sokongan kepada pemimpin besar UMNO, ramai ahli-ahli Parlimen Melayu telah memberikan alasan yang Raja-Raja Melayu mesti didisiplinkan tetapi tidak siapa nampak bagaimana pindaan kedua Bab ini boleh mendisiplinkan orang Melayu.

Jika pun kita hendak berdikari kenapa keistimewaan yang ada dalam perlembagaan itu dibuang…simpan sahajalah. Suatu hari nanti ada waktunya yang orang Melayu perlu keistimewaan untuk berlindung.

Keadaan itu akhirnya terbukti apabila UMNO menggunakan sedikit-sebanyak baki kuasa yang ada untuk berlindung semasa krisis perlembagaan dan kepimpinan diPerak yang berlaku tahun lepas.

Semasa itulah kita mendengar UMNO melaungkan ,Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Terlopong mulut saya apabila mendengarnya. Dulu ada pemimpin UMNO kata Raja Melayu sudah tidak relevan lagi!

UMNO/BN tidak berani untuk memanggil sidang khas DUN untuk meluluskan titah Baginda Sultan Perak untuk membawa usul tidak percaya kepada Nizar Jamaluddin.

Akhirnya terpaksa pergi ke Mahkamah yang sudah sedia hilang kredibilitinya sejak pemecatan Tun Salleh yang tidak berdosa itu. Kalau ada pun Dosa Tun Salleh ialah keengganan beliau untuk menghapuskan ‘indepenent judiciary’ yang tidak digemari oleh Dr Mahathir waktu itu.

Dalam kes diPerak pihak UMNO telah cuba mengelirukan rakyat yang pemimpin Pakatan Rakyat engkar kepada titah Baginda Sultan Perak sedangkan yang ada rekod mencemuh Raja-Raja itu adalah dari UMNO pada tahun 1993 dahulu.

Kalau pun kita perlukan kuasa diPerak itu biarlah kita mengambil kuasa itu melalui pilihanraya kerana merampas kuasa melalui pembelian itu adalah tidak ‘legitimate’ dan kuasa yang kita dapati melalui proses yang tidak ada ‘legitimacy’ itu tidak kekal dan akan memakan diri kita sendiri akhirnya.

Lagi pun permainan ‘silap-mata’ yang dilakukan oleh Najib itu merupakan pencerobohan pemimpin Persekutuan terhadap kedaulatan rakyat dan negeri Perak mengikut semagat Persekutuan kerana rakyat telah memilih siapa yang patut memerintah mereka.

Segala-galanya dibayar. Sampai bila UMNO hendak berkuasa melalui pembayaran dan pembelian ini?

Biarlah kita tunggu waktu pilihanraya umum untuk mengambil alih kuasa; melalui rampasan kuasa itu tidak ada seninya bagi politik orang Melayu lagi.

Teringat pula saya kepada lagu Zainurin Moh Dom “ ku pujuk-pujuk ku bawa lari”.

Bersambung………………



Sekian…………………………………………Aspan Alias

http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.