BN, PKR bakal alami keputusan pilihan raya pola ‘pendulum’

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, yang dilihat sebagai satu referendum ke atas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), dijangka akan melahirkan aliran sokongan pola ‘pendulum’ atau bersifat anjal dalam pilihan raya-pilihan raya umum selepas ini.

Dengan melihat Hulu Selangor sebagai kerusi yang unik dengan komposisi penduduk pelbagai kaum, yang turut dicerminkan di sebahagian besar di Semenanjung, penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff meramalkan peralihan undi kepada parti-parti bertanding — BN dan PR akan berubah bergantung pada isu, calon dan persekitaran politik semasa.

“Saya melihat pada arah aliran ayunan pendulum... di mana undi akan bergerak mengikut isu dan calon yang diletakkan pada masa pilihan raya... bukan lagi terikat kepada satu parti semata-mata sebagaimana telah disaksikan sebelum ini,” kata Mohd. Agus kepada The Malaysian Insider.

Keputusan pilihan raya kecil 25 April lalu juga, kata beliau, semakin menguatkan asas kepada kemunculan sistem dua parti politik utama di negara ini.

“Walaupun permohonan Pakatan Rakyat (untuk didaftarkan) masih belum diluluskan, saya melihat keputusan Hulu Selangor sudah memberikan petanda yang jelas ke arah itu,” katanya.

Justeru kata Mohd Agus, negara sudah boleh melihat pada realiti baru corak pengundian dengan harapan baru di kalangan pengundi.

Daripada 10 pilihan raya kecil telah dilangsungkan setakat ini tiga dimenangi BN, yang tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dari MIC, muka baru dalam pilihan raya, menerima 24,997 undi manakala calon PR Datuk Zaid Ibrahim memperoleh 23,272.

Walaupun BN menang dengan majoriti 1,725 undi, tetapi ia jauh lebih kecil daripada kira-kira 6,000 yang disasarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua tahun lalu, BN keciciran kerusi ini di tangan calon PKR dengan perbezaan 198 undi. Di peringkat DUN, BN menang ketiga-tiga kerusi dengan menyaksikan ia memiliki majoriti lebih 6,000 undi.

Bagaimanapun mengambil kira keputusan pilihan raya kecil kali ini, walaupun ia hanya melibatkan kerusi Parlimen, tetapi calon PR merekodkan kelebihan undi lebih 2,000 di kerusi DUN Kuala Kubu Baru.

Calon BN merekodkan majoriti di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Mengulas prestasi itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pihaknya yakin akan terus diterima rakyat memandangkan sokongan kepada PR tidak menurun walaupun BN menurunkan keseluruhan jentera kerajaan pusat di Hulu Selangor.

Sehubungan itu beliau mengajak kerajaan pusat memanggil pilihan raya umum untuk menguji populariti sebenar BN walaupun mendakwa menang di Hulu Selangor.

“Jika Perdana Menteri merasakan sokongan kepada BN meningkat kerana konsep 1Malaysia, saya mencabar supaya beliau adakan pilihan raya... kita akan lihat siapa pengaruh dan sokongan rakyat,” kata beliau ketika dihubungi.

Analisis PR kata Ahli Parlimen Kuala Langat ini, undi kepada PR terus meningkat walaupun pengundi memang merasai ketiadaan penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad yang tidak menemui pengundi disebabkan keadaan kesihatannya.

“Asas sokongan kepada PR masih kukuh. Situasi ini saya melihat dari seluruh negara,” kata beliau sambil menambah, pihaknya rancangan untuk “menghadapi masa depan.”

“Jika diambil kira dari segi kerusi DUN, sebenarnya kami sudah pun menang di kawasan Kuala Kubu Baru,” kata Abdullah Sani lagi.

Seorang pemimpin kanan Umno Hulu Selangor berpendapat BN kini sudah mampu untuk menarik balik pengundi-pengundi muda ke arah BN - parti yang ditolak majoriti golongan muda dua tahun lalu.

“Ada kebanyakan saluran dua ataupun saluran tiga dan empat di sesetengah pusat mengundi, memperlihatkan sokongan kepada BN meningkat,” katanya.

Bagaimanapun corak pengundian di saluran satu di sesetengah tempat khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu, antaranya di kawasan DUN Hulu Bernam sokongan memihak kepada PR.

Di Hulu Selangor kali ini, ada pusat mengundi yang mempunyai dua, tiga, empat atau lima saluran.

Jika sesebuah pusat mengundi mempunyai dua saluran, saluran pertama diperuntukkan kepada mereka berusia 41 tahun ke atas dan satu lagi kepada pengundi 40 tahun dan ke bawah.

Ia merupakan pusat mengundi yang baru diadakan kali ini.

“Arah aliran sokongan pengundi saluran satu memihak kepada Pakatan menunjukkan Pakatan khususnya PAS telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi yang berusia.

“Siapa yang biasanya akan pergi ke masjid atau surau? Orang-orang yang sudah berusia kan?” katanya.

Oleh itu kata beliau, tanggungjawab BN ialah mengekalkan pengundi muda yang sudah mula beralih kepada BN dan pada masa yang sama mencari jalan untuk membawa kembali pengundi-pengundi berusia ini kepada BN, kata pemimpin Umno ini.

Misalnya di daerah mengundi Gedangsa, BN memperoleh 179, 318, 225 dan 235 undi masing-masing di saluran satu, dua, tiga dan empat berbanding calon PR yang mendapat 98, 159, 187 dan 177.

Dua tahun lalu, calon PKR menerima 87, 175, 205 dan 212 undi.

Di Kampung Hulu Bernam, kali ini calon PR menerima 136, 295 dan 243 undi masing-masing di saluran satu, dua dan tiga berbanding calon BN 94, 171 dan 158. Dua tahun lalu ada lima saluran dengan calon PKR menerima 76, 221, 230, 222 dan 231 undi berbanding calon BN 118, 298, 179, 166 dan 152 undi.

Malah menurut pemimpin Umno ini BN juga sudah ada peningkatan undi daripada kalangan kaum wanita.

“Saya dapat melihat peningkatan undi kaum wanita kepada BN berbanding dua tahun lalu,” kata beliau tetapi tidak dapat memberikan perangkaan.

Menurut Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin, BN hanya mampu menang di 11 saluran pengundi muda dua tahun lalu tetapi ia meningkat kepada 34 pada pilihan raya kecil ini. Daripada 64,500 pengundi di Hulu Selangor, kira-kira 47 peratus merupakan golongan muda.

“Tetapi pada pilihan raya kecil kali ini, BN menang di 30 saluran pengundi muda dan PKR, 23,” kata beliau.

Bagaimanapun andaian Khairy itu dinafikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan menganggap Khairy masih berada dalam sindorom menafikan hakikat.

Katanya, ada daerah mengundi menyaksikan peningkatan undi golongan muda kepada PR. Setiausaha Agung MIC S. Murugesan juga berpendapat BN telah mula memikat pengundi-pengundi muda di Hulu Selangor.

“Kami mencapai keputusan yang baik di saluran mombor tiga dan empat... ini petanda baik kepada BN yang sudah boleh menerokai golongan muda berbanding dua tahun lalu,” katanya.

“BN telah berjaya untuk mengurangkan jurang,” katanya lagi.

Dalam tulisan blognya baru-baru ini, Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata, pada hakikatnya di Hulu Selangor masih ramai yang menyokong BN.

“Inilah keadaannya sejak dahulu lagi, tetapi amat jelas sokongan terhadap BN semakin terhakis hari demi hari,” kata beliau yang juga anggota Biro Politik PAS pusat.

Bagaimanapun menurut beliau, bagi PR keputusan Hulu Selangor sepatutnya menyedarkan diri dari dibuai mimpi, bahawa masih banyak lagi kerja penerangan yang perlu dilakukan.

“Masih ramai lagi, lebih lebih lagi yang di kawasan pendalaman, yang tidak memahami hasrat perjuangan PR dan kekejaman BN. Jentera penerangan negeri mestilah dipertingkatkan dan jentera parti mesti turun padang lebih kerap lagi. Kekurangan ini perlu diatasi sebelum tibanya PRU ke 13,” kata Khalid.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berpendapat keputusan pilihan raya kecil ini menjadi satu titik tolak menandakan sokongan kepada PR “tidak tercalar.”

“Pakatan masih ada asas sokongan yang kuat, yang sedikit pun tidak terjejas pengaruh kita di peringkat akar umbi,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Salahuddin juga melihat keputusan pilihan raya kecil ini hanya menunjukkan “rakyat memberi peluang sementara sahaja kepada BN.”

No comments

Powered by Blogger.