PAS Anjur Demonstrasi Aman Bantah Kelulusan Judi Piala Dunia

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor akan mengadakan demonstrasi aman bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pukul 2 petang esok di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Menurut Pemangku Ketuanya, Herman Samsudeen berkata demonstrasi aman itu akan diadakan bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membatalkan kelulusan lesen judi Piala Dunia dan Konsert 12 jam Pitbull.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana kerajaan mengambil sikap tidak endah tak endah dan berdegil dengan meluluskan dua perkara yang memberikan impak negatif kepada masyarakat Islam di negara ini.

“Sebagai parti yang mendukung aspirasi Islam kami membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan meluluskan dua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Tegasnya, sudah tiba masanya rakyat bangkit dan menentang perkara yang jelas melanggar hukum Islam dan norma agama-agama lain.

“Kelulusan ini adalah satu penghinaan kepada nilai-nilai tatasusila rukun negara dan satu kebiadapan kepada perintah Allah SWT.

“Justeru itu, DPPWP mengajak semua pihak untuk hadir ke demonstrasi ini sebagai menunjukkan ketegasan rakyat menolak sikap buta tuli pemimpin negara,” ujarnya.

Beliau menjangkakan, 1,000 orang akan menyertai demostrasi aman yang akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru esok.

“Insya-Allah Pemuda PAS akan turun padang dalam demonstrasasi esok. Kita mahu matlamat dapat dicapai dan kita akan terus mendesak kerajaan akan menarik semula kelulusan lesen judi dan membatalkan konsert Pitbull itu,” katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh, DPPWP sekiranya demonstrasi aman itu tidak berjaya, Herman berkata, mereka memorandum kepada Kementerian Kewangan minggu hadapan.

“Insya-Allah kita akan menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan untuk menarik semula lesen judi yang diluluskan itu. Hari apa, pihak kami belum putuskan lagi,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk PAS, Umno dan beberapa NGO yang lain.

Sementara itu,penganjuran konsert yang menampilkan kumpulan R& B terkenal, Pitbull turut mengundang kontroversi apabila kumpulan berkenaan didakwa menyanyikan lagu yang mempunyai lirik berunsur lucah.

Konsert '12 Hours Live with Chivalry' dijadualkan berlangsung esok selama dua belas jam tanpa henti bermula pada pukul 7 malam hingga 7 pagi keesokan harinya di Arena Tertutup Bukit Kiara, Kuala Lumpur.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.