PAS pusat serah Kelantan tentukan tindakan atas Kickdefella

KUALA LUMPUR, 4 Mei — PAS pusat menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap blogger Kickdefella berhubung pendedahan Operasi Gerak Saraf RM4 juta.

“Kalau boleh saya mencadangkan (kepada kerajaan Kelantan) untuk mengambil tindakan berdasarkan kenyataan yang disiarkan,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini.

Dengan membacakan sebahagian berita disiarkan Utusan Malaysia, Mustafa berkata, kerajaan negeri Kelantan boleh memikirkan kemungkinan mengambil tindakan.

“Terserah kepada Kelantan, biar (mereka) menilai apa tindakan yang boleh diambil (ke atas blogger Kickdefella),” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Dalam blognya pada 28 April lalu, Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang sebelum ini menjadi tumpuan kontroverasi Menteri Besar Kelantan dan menantunya, mendakwa telah dibiayai RM4 juta untuk memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Usaha memburuk-burukkan Abdullah yang menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009 dikenali sebagai Operasi Gerak Saraf, kata Syed Azidi dalam tulisan terbaru blognya.

Beliau menambah, usaha berkenaan dijalankan bagi membolehkan PAS mudah mengatasi Barisan Nasional untuk kekal berkuasa.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Kata Syed Azidi, beliau telah membelanjakan sejumlah wang itu sepanjang tiga tahun berkhidmat di Kelantan.

Sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Kelantan, kata Syed Azidi beliau telah membelanjakan sejumlah hampir lebih RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operasi, percetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan Operasi Gerak Saraf.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha PAS Kelantan Zaki Ibrahim memberitahu The Malaysia Insider, pihaknya tidak akan membincangkan isu berkenaan sebaliknya menganggap Syed Azidi sebagai “budak upahan dan suruhan Umno.”

“Dia macam budak-budak, blogger kampung sahaja... jadi bukan standard parti (PAS) untuk membincangkan isu ini (pendedahan Kickdefella)... bukan standard kami,” kata Zaki.

Mengenai syarikat Global Media Channel Sdn. Bhd yang didakwa Syed Azidi dijadikan asas untuk Operasi Gerak saraf untuk melemahkan kepimpinan Abdullah, Mustafa memberitahu beliau tidak mengetahui soal tersebut.

“GMC, saya tidak tahu, saya tidak tahu...,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.