Pinda perlembagaan negeri, lantik bukan Islam ke dalam Dun

Hazayani Zakaria

KLANG, 23 Mei: PAS sedang mempertimbangkan untuk meminda perlembagaan di negeri-negeri di bawah pemerintahan parti itu mengenai penyertaan bukan Islam ke dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti yang pernah dicadangkan di Terengganu pada 1999.

Namun, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ianya bergantung kepada kedudukan kerusi PAS di Dun masing-masing dan proses yang perlu dilalui setiap negeri.

"Ya, dalam pertimbangan. Tetapi itu bergantung kepada kedudukan kerusi kita (PAS) di Dewan Undangan Negeri dan bergantung kepada proses yang berbeza dengan negeri lain.

"Pindaan perlembagaan negeri perlu melaului penasihat undang-undang, mendapatkan tandatangan Sultan. Banyak proses yang perlu dilalui. Di Terengganu kita dapat melalui proses ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), di sini, hari ini.

Menurut timbalannya, Nasharuddin Mat Isa pula, meskipun di Kelantan belum membuat pindaan itu namun negeri itu sudah melantik penghulu di kalangan orang bukan Islam.

"Di Kelantan kita telah melantik penghulu di kalangan bukan Islam," katanya.

Abdul Hadi dalam ucapan perasmiannya sebelum itu ada memberitahu bahawa sewaktu PAS memerintah Terengganu pada 1999 sehingga 2004, perlembagaan negeri telah dipinda bagi membolehkan orang bukan Islam dilantik sebagai ahli Dun meskipun tidak bertanding dalam pilihan raya.

Pindaan itu ujarnya, sehingga sekarang tidak dibantah oleh Umno/Barisan Nasional di negeri itu.

Pada sidang media sama, beliau turut memaklumkan keputusan parti melantik pimpinan tertinggi DHPP dan menyerahkan kepada pimpinan tertingginya untuk mengadakan mesyuarat pertama bagi melantik ahli jawatankuasa yang lain.

Dewan itu seperti juga dewan-dewan yang lain, akan mempunyai setiausaha agung, ketua penerangan,bendahari, pengarah pilihan raya dan 12 ahli jawatankuasa yang lain.

"Saya mengisytiharkan bahawa kami telah membuat keputusan untuk melantik ketua DHPP iaitu Hu pang Chaw, timbalannya N. Balasubramaniam," katanya.

Ditanya samaada PAS akan meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata ia bergantung kepada keperluan.

"Calon bukan Islam dilihat pada keperluan. Setakat ini kita belum tentukan kouta. Apa yang penting kita tidak mahu berlaku pertembungan dengan rakan-rakan parti dalam Pakatan.

"Kita mahu bertanding dua penjuru sahaja dengan Barisan Nasional," katanya.

Turut bersama pada sidang media itu Naib Presiden, Salahudin Ayub, pengerusi lajnah perpaduan nasional, Dr. Mujahid yusuf Rawa, timbalannya, Dr halimah Ali, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mariah Mahmod, dan beberpa pimpinan lain.

DHPP kini sudah mempunyai 20, 000 ahli di seluruh negara.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.