Protes di Angkasapuri: Banner dirampas, Perhimpunan disuraikan

Demonstrasi di luar Kompleks Angkasapuri untuk membantah penamatan perkhidmatan penerbit Galeri Mandarin Nasional tv2, Chou Z Lam disuraikan oleh polis, malah kain rentang yang dibawa oleh peserta perhimpunan juga dirampas.

Kira-kira 80 orang menyahut panggilan Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI (Writers Alliance For Media Independence) dan CIJ (Centre for Independent Journalism) untuk berkumpul di luar Kompleks Angkasapuri, sebagai bantahan terhadap tindakan RTM memecat penerbitnya, Chou Z Lam.

20 orang tenaga polis dikerah untuk mengawasi perhimpunan tersebut, malah FRU juga tiba di tempat kejadian kemudiannya. Peserta perhimpunan memakai topeng "528, Tak Nak Self-Censorship, Tak Nak Campur Tangan Politik", tetapi dirampas kain rentangnya oleh polis.

Antara slogan yang tertulis pada kad termasuklah, "No Self-Censorship", "No Political Interference", "Bebaskan media", "Tayang Rawang dan Bakun", "Pecat Yap Shy Cuan", "Ibrahim Yahya letak jawatan" dan sebagainya. Bekas penerbit ntv7, Joshua Wong yang meletak jawatan sebagai protes terhadap self-censorship turut hadir untuk memberi sokongan solidaritinya kepada Chou Z Lam.

Sebelum ini, Chou Z Lam menerbitkan rancangan dokumentari yang bertemakan Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik voltan tinggi di Rawang. Beliau mendedahkan bahawa penyiaran rancangan tersebut dibatalkan kerana pertimbangan kepentingan pihak tertentu. Perkhidmatan Chou Z Lam ditamatkan pada 13 Mei 2010, atas alasan "menjimatkan kos".

Kira-kira 50 orang penduduk Rawang yang diketuai ADUN Rawang-PKR, Gan Pei Nei turut hadir untuk memberi sokongan kepada Chou Z Lam. Bagaimanapun, memorandum yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ibrahim Yahya, diterima oleh penolongnya.

Pencabulan hak rakyat

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI dan CIJ menggesa agar RTM mendukung hak mengetahui dan menyampaikan pandangan (expression) oleh pihak awam, serta tidak menghukum wartawan yang menjalankan tugasnya.

Mereka menganggap pembatalan siaran rancangan dokumentari tersebut telah mencabul hak rakyat Malaysia untuk terdedah kepada maklumat yang melibatkan kepentingan awam. Malah, penamatan perkhidmatan Chou Z Lam dilihat sebagai hukuman kepada seseorang wartawan yang menjalankan tugasnya.

Menurut kenyataan, setakat ini tiada penjelasan daripada pihak RTM walaupun didesak masyarakat sivil. Sikap acuh tak acuh sedemikian menunjukkan kesetiaan yang tersasar salah pada tempatnya, iaitu kuasa eksekutif, biarpun sepatutnya RTM harus taat kepada orang awam yang membiayai RTM dengan cukai mereka.

Mereka juga mentafsirkan tindakan pembatalan penyiaran dokumentari untuk melindungi pemegang kuasa adalah penyalahgunaan kuasa, kerana menggunakan kuasa awam untuk kepentingan peribadi. "Menghukum seorang wartawan yang membuat pendedahan adalah satu tamparan besar kepada kerajaan persekutuan BN yang mendakwa dirinya akan melindungi whistle-blower dan kempen untuk memerangi rasuah."

Tuntutan memorandum

Selain daripada itu, kumpulan yang berprihatin terhadap kebebasan media ini menuntut agar RTM:-

1. Menyiarkan kesemua episod dokumentari yang diterbitkan oleh Chou Z Lam, iaitu isu Empangan Bakun yang menggambarkan kehidupan kaum asli dan pembinaan menara elektrik bervoltan tinggi di Rawang.

2. Meyakinkan rakyat Malaysia bahawa RTM berpegang kepada kayu ukur etika dan profesional yang menekankan kesaksamaan.

3. Menamatkan perkhidmatan Yap Shy Cuan, ahli MCA yang dilantik untuk memantau rancangan Mandarin selepas pendedahan Chou Z Lam.

4. Parlimen mereformasikan RTM kepada stesen penyiaran awam.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.