Zaid sedia menghadap

PETALING JAYA – Penyelaras Pakatan Rakyat (PR), Datuk Zaid Ibrahim bersedia menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah bagi memperjelaskan maksud sebenar kenyataan yang dibuat di laman blognya jika baginda berkenan menerimanya menghadap.

Menurutnya, beliau sentiasa taat dan hormat kepada pemimpin tertinggi, termasuk Sultan Selangor dan tidak pernah terlintas langsung untuk menghina sesiapa.

"Saya sekadar membuat tafsiran mengenai undang-undang negara. Saya bukan mencabar sesiapa, tetapi sekadar mahu mendapatkan kesahihan undang-undang serta penjelasan mengenainya,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, semalam.

Baru-baru ini, Zaid yang juga Ketua Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), melalui kenyataan terbuka di laman blognya berkata, titah Sultan Selangor agar masjid dan surau tidak digunakan sebagai gelanggang politik hanya sebagai pandangan peribadi baginda dan bukannya arahan.

Kenyataan itu menimbulkan tidak puas hati beberapa pihak, termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang ingkar dan mempertikaikan perintah Sultan Selangor.

Susulan kenyataan Zaid itu, UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kelmarin, membuat laporan polis supaya menyiasat sama ada ia dianggap menghina atau berbaur hasutan.

Seramai 30 ahli Pemuda UMNO dan Selangor serta Perkasa mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Negeri Selangor di Shah Alam, sebagai protes terhadap kenyataan Zaid itu.

Zaid menjelaskan, beliau menulis artikel itu bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah tentang hal-hal agama Islam mesti tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri.:

“Keputusan tersebut perlu diwartakan sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang negeri yang sah,” katanya.

Zaid berkata, Mohamad Adzib memberitahu dalam surat kepadanya bahawa menjadi kesalahan jika sesiapa mengingkari dan mempertikaikan arahan dan perintah Sultan Selangor merujuk Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

“Saya faham mengenai perkara itu (Seksyen 12 Enakmen), namun sebagai peguam saya tidak bersetuju bahawa kuasa mengeluarkan arahan dan perintah itu adalah kuasa mutlak yang tidak perlu dirujuk kepada DUN.

“Jika kuasa membuat perintah dan arahan dalam hal agama Islam itu boleh dibuat Raja-Raja Melayu, tanpa merujuk DUN dan berkuat kuasa sebagai undang-undang serta-merta tanpa diwartakan, maka ia bererti kita kembali ke zaman khalifah dulu,” katanya.:

Beliau tidak bertujuan menghina dan mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu dan menyifatkan itu adalah tuduhan pihak tertentu. SH


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.