Aktif berpolitik: Guru bakal untung atau dianiayai?

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Polemik mengenai keputusan kerajaan membenarkan guru siswazah termasuk guru besar dan pengetua terlibat aktif dalam politik belum reda dengan ada yang berpandangan ia hanya langkah untuk mengenal pasti arah aliran sokongan sama ada mereka menyokong BN ataupun Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook melihat keputusan membenarkan guru aktif berpolitik sebagai salah satu cara untuk mengenal pasti pendirian politik pegawai pendidikan sama ada menyokong kerajaan ataupun pembangkang.

“Kalau guru itu sokong kerajaan memang tidak ada masalah tapi kalau sokong pembangkang, bagaimana pula? Adakah mereka akan menghadapi masalah tidak naik pangkat, gaji dan mungkin di hantar mengajar ke kawasan lain?

“Adakah guru itu akan menghadapi kesan seperti dianaktirikan? Ini satu keputusan yang akan membahayakan guru-guru yang sokongan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Oleh itu tambah Loke, “jadi saya melihat kerajaan sengaja untuk membenarkan guru berpolitik supaya ia senang dimanipulasikan kerana kerajaan tahu ramai kalangan guru sekarang menyokong pembangkang.”

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Loke yang juga ahli Parlimen berkata, kerajaan perlu bertindak adil kerana guru sebagai warganegara mempunyai hak dalam kebebasan berpolitik.

“Pada dasarnya saya memang bersetuju dengan cadangan kerajaan itu, tetapi dengan syarat guru diberikan kebebasan untuk berpolitik.

“Kita tidak mahu apabila guru sokong kerajaan tiada apa-apa tapi bila sokong pembangkang dikenakan tindakan pula.

“Ini tidak konsisten dan tidak adil kepada guru sebenarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan juga perlu bertindak adil kepada semua kakitangan awam yang lain.

“Tidak adil jika hanya guru dibenarkan berpolitik sedangkan kakitangan awam lain tidak boleh.

“Jadi saya harap supaya perlu ada satu kajian lebih mendalam dalam perkara ini kerana setiap warganegara mempunyai hak dan kebebasan berpolitik,” katanya.

Ahmad Maslan berpendapat kemasukan guru ke dalam gelanggang politik akan menambah bilangan pemimpin yang baik.
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata penglibatan guru dalam politik akan menambah bilangan pemimpin dan aktivis yang baik.

“Ini kerana guru berada dalam kawasan yang dikelilingi masyarakat dan mereka ada rumah yang baik di bandar ataupun luar bandar kerana mendapat pinjaman perumahan kerajaan.

“Suara guru biasanya dihormati dan dengan dibenarkan berpolitik lebih ramai pemimpin dan aktivis yang baik dapat dilahirkan.

“Selain itu dengan masa lapang yang ada, mereka boleh menyumbang khidmat serta idea kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa keputusan kerajaan itu hanya akan menguntungkan BN.

“Guru mengajar di sekolah kerajaan jika swasta itu lain.

“Tapi saya kira terpulang jika mereka nak sokong kerajaan ataupun pembangkang.

“Kerana saya rasa guru yang sokong pembangkang tidak ramai agaknya,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata perkara itu bukan sesuatu yang baru kerana guru tetap tidak mendapat kebebasan dalam berpolitik.

“Jika guru perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua mereka bermakna mereka tidak bebas. Hanya mereka yang menyokong BN sahaja akan mendapat kelulusan.

“Ini kerana guru yang menyokong Pakatan Rakyat sudah pasti tidak akan ke depan kerana bimbang akan dikenakan tindakan.

“Jadi siapa yang untung? Guru yang sokong kerajaan sahaja yang untung,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya tidak mengenakan syarat agar guru yang mahu aktif berpolitik mendapat kebebasan yang sepatutnya.

“Adakah ini kebebasan berpolitik yang dikatakan kerajaan? Tidak, kerana guru tidak bebas.

“Jadi kerajaan perlu menarik balik syarat tersebut,” katanya.

Saifuddin berpendapat ramai guru terlibat dalam politik selama ini.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail pula berpendapat selama ini pun ramai guru terlibat dalam politik, cuma ia tidak sah.

“Pembabitan guru dalam politik sebenarnya sudah lama dan ia jelas berlaku dalam Umno apabila ramai guru memegang jawatan di peringkat cawangan ataupun bahagian.

Beliau berkata persoalan sekarang adalah sama ada guru diberikan hak kebebasan yang adil dalam berpolitik.

“Saya melihat guru yang menyokong kerajaan mendapat kelebihan apabila kerajaan membenarkan aktif berpolitik sedangkan guru yang sokong pembangkang mungkin akan dikenakan tindakan.

“Jadi saya berharap agak kerajaan tidak lihat ia sebagai politik kepartian. Hak berpolitik perlu diberikan kepada semua dengan adil,” katanya.

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” kata beliau.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

No comments

Powered by Blogger.