Salah faham terhadap PAS

Li Fook Gao

- 26 JULAI 2010

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini. Mari bersembang bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), Salahudin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Soalan 1:

Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah yang orang di kampung sering salah-faham mengenai perjuangan PAS - selama ini?

TITM: Orang kampung seringkali tidak mendapat maklumat sebenar tentang perjuangan PAS. Lantaran itu mereka sering kali dikelirukan dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara.

Salah faham utama yang berlaku ialah anggapan PAS memecah belah masyarakat melayu (Islam), dan bilamana isu ini dijelaskan bahawa tujuan perjuangan PAS untuk mengajak masyarakat kepada penghayatan Islam yang sebenar dalam masyarakat. Kita menyatakannya dalam pelbagai ceramah dan ucapan, kuliah dan sebagainya; namun ianya masih lagi tidak diyakini.

Namun setelah kita menguasai kerajaan negeri di kelantan ( lebih 20 tahun ), Terengganu satu masa dahulu, Kedah dan negeri lain kita bukan sahaja berjaya menyatakan dalam bentuk lisan tetapi juga dalam bentuk pembuktian melalui penghayatan.

Ini menambahkan sokongan dan keyakinan masyarakat kepada perjuangan PAS.

SA: Mereka sering mengganggap PAS sebagai parti pelampau agama, mereka anggap kita ekstrem dan mereka mengganggap PAS ialah parti yang memecah-belahkan masyarakat – itu yang saya rasa yang orang kampung dan pedalaman yang tidak terdedah pada media dan maklumat, itulah persepsi mereka kepada PAS.

Saya rasa sekarang dengan kemajuan dunia teknologi tanpa sempadan dan Internet, dan berlakunya ‘espora’ iaitu anak-anak mereka yang keluar belajar di bandar-bandar besar, pengajian tinggi dan juga jentera PAS yang semakin bersistematik dalam memberikan penerangan mengenai dasar-dasar parti, saya rasa perkara ini telah sedikit demi sedikit dapat kita atasi.

Di negeri-negeri Kelantan dan Kedah ini, kita melihat mereka ini terdiri daripada orang-orang Melayu yang lebih independent (berdikari) – mereka tidak banyak bergantung dengan kerajaan. Jika kita lihat rakyat di Kelantan ini, wanita-wanita mereka dan kaum-kaum lelaki mereka banyak bekerja dan berniaga sendiri menyebabkan mereka tidak terasa bergantung dengan parti pemerintah.

Yang keduanya, oleh kerana ini terdapat banyak pusat pengajian Islam yang membolehkan mereka lebih banyak terdedah kepada ajaran agama – jadi apabila jumpa PAS yang dasarnya Islam, mereka lebih mudah memahami perjuangan PAS berbanding dengan negeri-negeri lain.

MO: Terlalu sedikit kumpulan yang salah faham tentang perjuangan Pas. Yang ada hanya golongan yang ketakutan hilang segala bantuan kebajikan pendidikan, pertanian dan bantuan lain yang diperolehi selama ini.

Akan tetapi, sekarang dengan perubahan gaya hidup dan perubahan kewujudan bandar baru menjadikan masyarakat kampung turut berubah. Di samping itu, kemunculan generasi baru anak-anak muda yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat menjadikan soal kekeliruan dan salah faham terhadap PAS bukan masalah pokok kepada parti.

Yang menjadi perkara pokok sekarang ialah proses penyampaian maklumat yang lebih efisyen perlu dilakukan oleh PAS.

Soalan 2:

Jika Naib Presiden terjumpa seorang ahli biasa dari parti UMNO, bagaimanakah sekalian berhujah untuk menarik beliau untuk menyertai PAS?

SA: Pada saya, orang-orang yang seperti ini perlu didekati dengan penuh bijaksana dan hikmah – perlu ada step by step, alah demi alah untuk kita mendekati mereka dengan mengambil pendekatan untuk berhubung dengan mereka.

Kedua, kalau boleh kita memberikan tawaran perkhidmatan kita kepada mereka dan ketiga barulah kita berkongsi tentang dasar-dasar perjuangan PAS kepada mereka.

Jadi perlu ada step by step, dan ini semua perlu dibuat dengan penuh kesabaran.

MO: Yang utama bukan hujah…tetapi apakah pandangan pertama (first impression) yg diperolehi oleh seseorang terhadap diri pimpinan PAS.

Bahasa badan kita yang mempamerkan keterampilan kemesraan akan menjadikan orang lain berhasrat untuk didekati dan dengan sendirinya mereka akan mendapat satu penghujahan mengenai pimpinan PAS bahawa mereka adalah orang yang sangat perihatin terhadap kehidupan persekitaran.


TITM: Hujan utama ialah al-Quran dan hadis. Kita perlu yakinkan mereka bahawa sebagai seorang Islam kita mesti yakin akan kebaikan ajaran Islam dan kemampuan Islam bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara.

Kita mengajak mereka memikirkan tentang isu besar rasuah yang berleluasa, laporan kedua audit serta peningkatan jenayah dan kemungkaran dalam masyarakat yang menuntut kita kembali kepada ajaran Islam.

Saya seringkali mengajukan persoalan 'apa ruginya kalau kita kembali kepada Islam, bangsa akan selamat, agama akan selamat, negara akan selamat, generasi kita akan selamat. namun kalau kita hanya memperjuanagkan bangsa, mungkin bangsa akan selamat, tapi apabila agama tidak selamat, maka bangsa itu juga lambat laun akan turut hancur dengan keruntuhan moral dan akhlak.

Jangan kita turut mendokongi dosa kemungkaran yang ditaja oleh UMNO BN, kerana bersekongkol dengan mereka bermakna kita turut mendokongi kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.


Soalan 3:

Harap para Naib Presiden dapat lengkapkan pantun di bawah:

Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah.


MO: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Buang saja Umno dalam tong sampah.

Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Nanti rakyat juga yang susah.

TITM: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Keadaan Umno makin parah,
Tingkatkan jihad jangan menyerah kalah.

SA: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
PAS mesti terus mengarah,
Supaya Umno-BN menyerah kalah.

No comments

Powered by Blogger.