Umat Islam Malaysia Jangan Leka

AMAT elok kita berbahas mengenai perpaduan umat Islam di negara kita kerana tanpa perpaduan, umat Islam tidak akan mampu bertahan.

Sekarang mungkin mudah kita mengamalkan Islam. Jika dibandingkan dengan banyak negara Islam, kita di Malaysia cukup bernasib baik.

Tetapi janganlah kita sekali-kali menganggap keselesaan itu datang bergolek dan akan kekal selama-lamanya.

Percubaan mengawal kebebasan umat Islam Malaysia dan menguji akidah mereka sudah pun berlaku cuma tidak secara terbuka atau dihebohkan.

Misalnya sudah ada masjid dan surau di kawasan bercampur yang “terpaksa” merendahkan bunyi azan. Cadangan membina masjid dan surau di kawasan seperti itu semakin dipersoalkan. Kini, penggunaan kalimah Allah di seluruh pelosok negara turut dituntut oleh Kristian Roman Katolik.

Umat Islam Malaysia Bertuah

Sebenarnya, sebagai umat Islam, kita di Malaysia amat bertuah. Hatta kedudukan negara kita di segi geografi pun membantu. Waktu solat dan berpuasa hampir tidak berubah. Kalau berganjak pun, beberapa minit sahaja.

Adakah terfikir oleh kita untuk bangun Subuh jam 3.46 pagi kerana jam 6.02 pagi habis waktu atau tunggu hingga jam 11.09 malam untuk menunaikan sembahyang isyak?

Di mana saya berada sekarang di Eropah, itulah kedudukannya. Masuk zuhur 1.33 petang dan Asar 5.37. Kini musim panas, jadi siang hari panjang. Maka sebab itulah jam 9.02 malam baru Magrib. Kalau puasa pun macam itu – dari jam 6 pagi hingga 9 malam.

Tetapi, alhamdulillah Islam tidak tercorot macam dulu lagi walaupun terus tercabar. Masa saya awal-awal menjelajah dunia menjalankan tugas bermula tahun 1970an, kesedaran mengenai Islam amat terhad.

Kalau bukan dalam kapal terbang negara Islam, tidak ada makanan halal. Hari ini naiklah kapal terbang milik siapa pun, kecuali dari tempat terpencil, kita boleh pesan “Muslim meal” (makanan Islam).

Kebetulan, kesedaran mengenai Islam di kalangan syarikat penerbangan khasnya dan negara-negara bukan Islam bermula sekitar pertengahan tahun 1970an.

Ia dicetuskan oleh sekatan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroliam Arab (OAPEC) pada bulan Oktober, 1973 sebagai membantah perbuatan Amerika menggantikan senjata tentera Israel yang musnah dalam perang “Yum Kippur”.

Pada mulanya tentera negara Zionis tewas dan wilayah Palestin dirampas tentera Arab. Tetapi apabila senjata mereka yang musnah diganti oleh Amerika, tentera Zionis menyerang balas dan menakluki banyak wilayah Arab.

Tindakan OAPEC menyekat bekalan hingga Mac, 1974 itu menyebabkan harga minyak naik 70 peratus dan mengancam kemelesetan ekonomi global. Dengan serta merta Amerika bertindak memerintahkan Israel berundur dari wilayah Mesir yang ditaklukinya. (Pada waktu itu, minyak mentah berharga tidak sampai AS$3 satu tong.)

Negara Islam Tidak Lagi Bersatu

Sejak itu, negara-negara Arab tidak lagi bersatu menghadapi Israel dan harapan mendapatkan balik bumi Palestin secara ketenteraan sudah tidak wujud lagi. Amerika dan sekutunya tidak akan membenarkan kemungkinan itu berlaku. Apatah lagi, banyak sekutu Amerika hari ini adalah negara-negara Arab.

Jadi, kita di Malaysia janganlah seronok sangat berpolitik dan berpolemik hingga apa yang kita kendung berciciran dan apa yang kita kejar tak dapat. Jangan lupa, tak sampai 60 peratus penduduk Malaysia adalah Islam.

Di negara tempat saya berada ini (untuk melawat cucu – tiga orang), pada bulan November tahun lalu mereka mengadakan pungutan suara dan berjaya mendapat sokongan mengharamkan pembinaan menara di masjid-masjid.

Gerakan anti orang Islam semakin menjadi-jadi di Eropah berpunca daripada kebimbangan meningkatnya bilangan penduduk Islam di benua ini. Ia adalah reaksi politik Judeo-Christian Eropah (termasuk Amerika) terhadap Islam sejak zaman berzaman.

Inilah akibatnya apabila orang Islam tidak ada kuasa dan menjadi kelompok minoriti. Walaupun mereka hidup secara aman dan menyumbang kepada negara mereka menetap, hak mereka tetap dikawal dan dihadkan.

Berbaik Tapi Ada Had

Tetapi kita di Malaysia tidak tegah penganut agama lain membina tempat ibadat hingga ada yang melampau-lampau membina tempat ibadat tanpa kebenaran dan secara haram.

Jadi ingatlah, jangan kerana gilakan kuasa, tak kira kuasa politik atau ekonomi, kita memperjudikan hak dan kedudukan kita sebagai orang Islam.

Jangan kita jadi macam umat Islam di banyak negara Islam yang sudah dicucuk hidungnya oleh imperialis ekonomi dan ketenteraan Barat, atau diperkotak-katikkan oleh Muslim liberal yang mengamalkan konsep kebebasan Judeo-Christian Eropah.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.