Md Sabu dan kejayaan gerakan Islam sedunia

Oleh Dinsman

Saya tertarik dengan teks ceramah Mohamad Sabu yang disampaikannya di German pada 22 Jun lalu, iaitu di Universiti Goethe, Frankfurt dan Universiti Humboldt, Berlin; dan disiarkan dalam Harakah versi English, 5 Julai 2010 (ms N16-17).

Maka terlebih dahulu saya ucapkan tahniah dan syabas kepada tokoh pimpinan PAS Pusat yang popular ini, kerana dijemput menyampaikan ceramah di universiti-universiti di German. Membaca tajuknya sahaja pun, “PAS and the success of the contemporary Islamic movement” (PAS dan kejayaan gerakan Islam mutakhir), saya sudah teruja untuk mengetahui isi kandungan ceramahnya itu, yang disampaikan di hadapan para professor, pensyarah dan pelajar di universiti di Eropah.


Saya harap pembaca sekalian pun membacanya, dan kalau belum eloklah membacanya selepas ini, dan saya juga berharap pihak Harakah sudi menyiarkan terjemahannya pula ke bahasa Melayu.

Mohd Sabu memulakan ceramahnya dengan menyatakan bahawa PAS ditubuhkan pada tahun 1951, waktu umat Islam di seluruh dunia sedang mengalami keadaan yang lemah, dan dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah, kecuali Pakistan dan Indonesia yang baru mencapai kemerdekaan.

Beliau kemudian menganalisa kebangkitan gerakan Komunisme (Marxism) dan Sosialisme, khasnya di Eropah Timur dan Russia, yang menganggap agama sebagai “candu masyarakat”. Walaupun gerakan tersebut turut mempengaruhi sebahagian gerakan kebangkitan di Malaysia dan Indonesia, katanya, namun PAS tidak terpengaruh dengannya.

Menariknya, walaupun PAS tidak terpengaruh dengan Komunisme, namun Mohd Sabu mengaku yang dia bersetuju dengan pandangan yang mengatakan agama sebagai candu masyarakat, iaitu “agama” yang dihayati dan diajar oleh ulama-ulama waktu itu, yang diistilahkannya sebagai “ulama istana” (the court ulama).

Saya tidak bertujuan hendak membuat ulasan terhadap teks ceramah tersebut. Jadi tidaklah akan saya sebutkan kembali satu persatu perkara yang menarik dalam teks itu. Hanya ada satu hal yang mendorong saya untuk membangkitkan ceramah tersebut dalam wacana ini, iaitu persoalan mengapa Md Sabu tidak sebut pun satu kejayaan besar yang telah dicapai oleh PAS, dalam ceramahnya itu?

Saya fikir-fikirkan perkara ini, ada beberapa kemungkinan. Pertama, mungkin apa yang saya maksudkan sebagai ‘kejayaan besar’ PAS itu sebenarnya bukan satu kejayaan besar pun. Hanya saya sahaja yang menganggapnya demikian. Md Sabu tidak menganggapnya demikian. Dan barangkali ramai di kalangan pimpinan atasan PAS pun tidak menganggapnya demikian. (Ustaz Azizan di Kedah pun nampaknya tidak menganggap demikian juga).

Memang saya sedar akan kemungkinan ini. Bahkan ia bukan kemungkinan lagi. Apabila diperhatikan gelagat kebanyakan pimpinan PAS hari ini, mereka seperti tidak menghargai pun pencapaian tersebut, atau tidak menganggapnya sebagai penting, atau tidak menyedarinya pun.

Kejayaan besar yang saya maksudkan itu ialah kejayaan PAS di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz membuka ruang untuk “Islam mentadbir” di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun, dan kini telah berjaya membangunkan satu formula pentadbiran negeri (negara) yang boleh dianggap sebagai “Model Islam Mentadbir”, yang boleh diangkat ke peringkat antarabangsa bagi menonjolkan imej Islam yang lebih baik, dan boleh diterima dunia.

Idea mengenai “kejayaan besar” PAS yang saya maksudkan ini telahpun saya rumuskan dalam sebuah puisi, “20 Tahun Islam Mentadbir”, dan telah dibacakan di hadapan pimpinan PAS, termasuk Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz, di malam perasmian Lajnah Seni dan Budaya PAS, sempena Muktamar Tahunan di Putik, Kota Bharu, 11 Jun lalu. Dan idea itu dipaparkan pula dalam Wacana Budaya, Harakah 21 Jun.

Memang. Apabila diberitakan Md Sabu akan menyampaikan kuliah di German atas tajuk “PAS and the success of the contemporary Islamic movement” itu, saya tertunggu-tunggu nak baca teksnya, nak tengok apa yang nak disebut oleh tokoh PAS yang saya minati ini, mengenai pelaksanaan Islam oleh PAS di Kelantan, yang akan genap 20 tahun Oktober ini.

Rupa-rupanya dia tak sentuh pun. Dia sebut mengenai kejayaan Iran, itu kita tak hairanlah. Kita pun tahu bagaimana pada era Md Sabu menjadi tokoh pimpinan Pemuda PAS dulu, kesan kebangkitan Iran agak kuat mempengaruhi gerakan Pemuda waktu itu. Tak mengapalah itu. Tetapi takkan kejayaan PAS Kelantan selama 20 tahun itu langsung tidak masuk dalam pemikiran dan pertimbangananya?

Atau barangkali perkara kejayaan di Kelantan ini sudah menjadi satu perkara yang terlalu biasa, hingga kita menganggapnya sebagai perkara rumahtangga kita sahaja, dan tak perlu diangkat ke dalam perbincangan antarabangsa!

Ya, mungkin. Tapi apa pun, saya sengaja tidak menghubungi Md Sabu untuk penjelasan perkara ini secara peribadi, kerana saya melihat lebih kepada implikasi umumnya. Dan saya sengaja mengambil kesempatan ini untuk menarik tumpuan pimpinan PAS – marilah kita berikan perhatian kepada satu “kejayaan besar” PAS di Kelantan ini.

Tidak pastilah saya apakah kejayaan PAS Kelantan ini boleh disetarafkan dengan kejayaan Iran sejak dipimpin Imam Khomeini itu. (Lagipun, layakkah dibandingkan antara sebuah negeri dengan sebuah negara? Atau ada kaedah perbandingan tertentu yang mewajarkannya?)

Memang pengetahuan saya mengenai Iran pun tidak banyak. Namun saya tidaklah melihat antara keduanya itu dalam satu perbandingan. Saya hanya mengkaji pentadbiran Islam (teori, kaedah dan amalinya) yang diaplikasi dalam mana-mana pentadbiran atau pemerintahan di dunia hari ini, dalam konteks politik antarabangsa yang sangat kuat didominasi oleh kempen Amerika yang terus menerus memburukkan imej Islam dan sentiasa mengaitkan Islam dengan keganasan.

Cubalah kita bayangkan – kalaulah dalam kesempatan yang diberikan kepada Mohd Sabu itu, beliau menghuraikan kejayaan “Islam mentadbir” yang telah dibuktikan oleh pimpinan Nik Aziz di Kelantan selama 20 tahun, walaupun dalam keadaan ditekan dan diganggu oleh kuasa pemerintahan lain di peringkat Persekutuan itu.

Masyarakat Kelantan hari ini, hasil asuhan dan tarbiyah Tok Guru Nik Aziz selama 20 tahun itu – sudah terbentuk suatu sistem nilai masyarakatnya yang tersendiri, yang aman, harmoni, sejahtera, membangun bersama Islam, dan sentiasa dalam berhubungan dengan Akhirat. Sebuah imej Islam yang “cinta damai”, sangat berperikamanusiaan dan sangat universal.

Namun apa pun, ini hanya satu pandangan saya sahaja. Md Sabu dengan pengalamannya yang lebih banyak dalam gerakan Islam, tentu mempunyai kewajarannya sendiri mengapa dia tidak menyebut hal Kelantan.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

No comments

Powered by Blogger.