Adun Setiu: Kami hormati Muhyiddin, cuma mahu Umno pusat selesai masalah

Oleh G. Manimaran


Empat wakil rakyat gagal menghadiri sebuah majlis perasmian yang disempurnakan oleh Muhyiddin. — gambar fail

KUALA TERENGGANU, 26 Julai — Salah seorang Adun di kawasan Parlimen Setiu yang tidak menghadiri persidangan perwakilan bahagian baru-baru ini menegaskan, tidak timbul soal beliau dan tiga wakil rakyat tidak menghormati Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keempat-empat wakil rakyat itu tidak hadir majlis perasmian bahagian itu yang disempurnakan oleh Muhyiddin.

Adun Langkap, Asha’ari Idris
“Saya secara peribadi telah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, sudah menghubungi, sudah menelefon beliau bahawa tidak dapat menghadiri persidangan perwakilan, beliau (Muhyiddin) tahu kami tidak akan hadir,” kata Adun Langkap Asha’ari Idris.

Asha’ari yang dihubungi The Malaysian Insider menambah tidak timbul soal beliau dan Adun Permaisuri Abdu Halim Jusoh, Khazan Che (Batu Rakit) dan Ramlan Ali (Jabi) tidak menghormati Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno.

“Setahu saya, tiga Adun berkenaan juga telah memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin yang tidak akan hadir mesyuarat bahagian itu,” katanya.

“Tidak timbul isu kami tidak menghormati Tan Sri Muhyiddin, beliau timbalan perdana menteri, kami sokong beliau,” katanya lagi.

Asha’ari berkata mereka tidak hadir untuk menyampaikan mesej bahawa wujud masalah di bahagian tersebut.

Kata beliau, pihaknya hanya mahukan pucuk kepimpinan menyelesaikan masalah yang wujud di bahagian mereka.

Muhyiddin melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh empat wakil rakyat di kawasan itu.

Ia dirasmikan oleh beliau pada 16 Julai lalu.

“Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

“Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubung kait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana,” kata beliau.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga Ketua Umno bahagian itu; Ketua Umno Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang; Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid; dan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu menyifatkan tindakan empat Adun berkenaan sebagai tidak menghormati kepimpinan tertinggi dan parti.

Beliau berkata masalah yang membelenggu Bahagian Setiu kalau dilihat dalam konteks agenda nasional ia boleh memberikan kesan kurang baik kepada parti.

Mengulas lanjut, Asha’ari berkata, sebagaimana ditekankan oleh Muhyiddin apa jua masalah yang wujud perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap “permintaan” mereka itu.

“Bukan sahaja di bahagian kami, di mana-mana sahaja, masalah yang wujud perlu diselesaikan,” kata beliau lagi.

“Saya fikir, bukan sahaja kami empat Adun, semua orang politik macam kami, berharap masalah ini (jika wujud) diselesaikan sebelum pilihan raya (umum) akan datang,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan masalah yang wujud di bahagian itu.

“Saya tidak mahu tambah masalah lagi, cukuplah... saya berharap masalah yang wujud diselesaikan,” kata Asha’ari.

Ketika ditanya pandangan sesetengah pihak bahawa Umno pusat wajar mengambil tindakan ke atas mereka, Asha’ari berkata: “Itu saya tidak mahu komen.”

No comments

Powered by Blogger.