"Saya bukan alat Umno" – Ibrahim Ali

Oleh Stephanie Sta Maria

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Ibrahim Ali terpaksa bersuara lantang menyelar sesiapa sahaja yang beliau fikirkan telah melampau batas dengan mempertikaikan hak-hak istimewa Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Atas alasan ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, merasa pelik dan marah apabila beliau dilabelkan sebagai "alat Umno" dan "jurucakap" bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perkasa, sepertimana yang tidak jemu-jemu dijelaskan oleh Ibrahim, ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak berminat menjadi parti politik tetapi kritikannya yang kadang-kadang pedas itu ditujukan kepada dasar atau kenyataan tanpa prejudis terhadap sumber asalnya.

Menafikan anggapan bahawa beliau lebih cenderung kepada Umno atau menjadi "pembesar suara" Dr Mahathir, ketua Perkasa ini berkata, pertubuhan yang diterajuinya telah acap kali mengkritik kerajaan dan dasar-dasarnya dan ini membuat pemimpin-pemimpin Umno dan ahli-ahlinya marah kepadanya.

Bercakap dengan Free Malaysia Today dalam satu wawancara eksklusif di pejabat Perkasa yang terletak di sebuah hotel empat bintang di ibu negara, pemimpin bersuara lantang itu berkata, pada suatu ketika Perkasa dianggap "bukan sahabat" oleh mereka dalam Umno.

"Masalahnya apabila kami mengkritik pembangkang atau lain-lain NGO, kami dilabel sebagai alat Umno. Tetapi apabila kami mengkritik kerajaan, tidak ada sesiapa yang mengiktiraf kami sebagai sebuah badan yang bebas," jelas beliau.

Ahli parlimen bebas itu juga menyelar persepsi oleh setengah-setengah golongan bahawa NGO yang baik dan bebas ialah yang sentiasa menjadi "duri dalam daging" dalam tubuh kerajaan.

"Persepsi ini adalah salah. Sebuah NGO yang bebas ialah bersikap mesra dengan semua pihak, kritikal tentang dasar-dasar dan bersuara lantang terhadap isu-isu yang tidak dipersetujuinya. Tetapi bagi pihak kerajaan pula, kami masih perlu ada hubungan supaya kami dapat menyampaikan pendapat dan tuntutan kami."

Di samping mengakui perlunya hubungan yang baik dengan kerajaan, Ibrahim dengan cepat menafikan bahawa Perkasa bukanlah alat Umno.

"Lihat, malahan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Nazri Aziz dan (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin secara terbuka berkata, Umno tidak menyokong Perkasa…. tapi kami menganggap positif kenyataan-kenyataan ini kerana membuktikan bahawa kami bukanlah alat sesiapa," ujar beliau.

Hubungan suka dan benci

Ketika mana Umno cuba menjauhkan diri dari Perkasa, tetapi bekas pemimpinnya Dr Mahathir tidak menghadapi masalah untuk mendekati Perkasa.

Sejak beliau merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa dengan memuji keupayaan Perkasa membantu mendapatkan undi untuk Barisan Nasional pada pilihan raya kecil parti Hulu Selangor lalu, Dr Mahathir malah membiarkan dirinya dianggap sebagai jurucakap Perkasa. Dan tanggapan yang salah ini cuba ditepis oleh Ibrahim sehingga sekarang.

"Saya bukan jurucakap Dr Mahathir," beliau menjelaskan, menambah bahawa beliau tidak pernah mengamalkan politik yang mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

"Saya tidak pernah mengharapkan perlindungan daripada sesiapa. Beliau (Dr Mahathir) seorang pemimpin yang hebat dan saya hormatinya tapi saya juga mengkritik beliau. Hubungan kami di antara suka dan benci."

"Perbezaan di antara Dr Mahathir dengan orang lain ialah beliau menerima baik kritikan. Apabila kami bercakap beliau tidak menggunakan kritikan saya terhadapnya. Tidak ada unsur balas dendam. Ini yang membuat beliau berbeza dengan orang lain.

Ibrahim menyingkap pengalaman beliau dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas timbalan perdana menteri Allahyarham Ghafar Baba sebagai contoh.

Beliau menerangkan bahawa beliau diterima baik oleh para pemimpin berkenaan sehingga beliau meluahkan pandangannya, kadang kala bersifat kritikan.

"Inilah pemimpin-pemimpin yang telah melatih kami. Mereka terus menerus menyatakan "kita adalah parti demokrasi’, kami mahu para belia mempunyai pemikiran lebih terbuka dan ‘kami bersedia dikritik’. Tetapi apabila kita mengkritik, mereka tersinggung dan sebaliknya melabel kami sebagai "pengacau".

"Anwar sebagai contoh. Saya bertahun-tahun rapat dengannya dan beliau akan bercakap mengenai fikiran terbuka terhadap kritikan. Tetapi apabila menerima kritikan daripada saya, telinganya akan terbakar!"

Ibrahim secara sinis menganggap dirinya ibarat "buah kuldi" yang melekat dihalqum para pemimpin – tidak mampu untuk ditelan maupun dibuang tapi saya suka begini.

"Menghormati dan menerima pemimpin adalah satu hal tapi jika kritikan perlu maka ia perlu diluahkan. Saya tidak yakin hubungan dengan seseorang pemimpin memerlukan kita menyokongnya, betul atau salah. Dan keyakinan ini menjadi penghalang dalam karier politik saya," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.