KEBENARAN GURU AKTIF POLITIK: 3 PERSOALAN YANG PERLU KPM JAWAB!

Langkah kerajaan membenarkan kembali para guru gred 41 hingga 48 kembali melibatkan diri secara aktif didalam politik mulai 01 Ogos 2010 ini sememangnya disambut baik oleh semua kerana sebagaimana yang kita tahu golongan ini adalah antara mereka yang begitu dekat dengan masyarakat dan amat memahami kehidupan masyarakat harian.

Sebagaimana menurut kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohamad Sidek Hassan semalam bahawa langkah ini adalah berlandaskan hakikat bahawa golongan guru ini adalah orang yang memainkan peranan penting memimpin masyarakat suatu masa dahulu didalam senario politik Negara kita.

“Masanya sudah tiba mereka dibenarkan aktif semula didalam politik” , menurut beliau lagi semalam.

Berdasarkan kata-kata beliau semalam, keputusan membenarkan para guru kembali aktif didalam politik ini disamping memegang jawatan politik adalah bersandarkan kepada beberapa keadaan iaitu antara lainnya perlulah mendapatkan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu disamping tidak menjejaskan atau menganggu tugas mengajar di sekolah masing-masing.

Bukan untuk menidakkan kata-kata KSN itu. Cuma beberapa persoalan pasti akan berlegar-legar diminda kita akan kebenaran tiba-tiba oleh kerajaan untuk aktif berpolitik kepada guru-guru ini.

Ada tiga persoalan yang ingin kita ketahui akan jawapannya daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terutamanya.

Pertama, apakah kebenaran ini dibuka untuk semua guru-guru tanpa mengambil kira sokongan mereka kepada parti mana yang mereka minati? Atau pun hanya untuk guru-guru yang menyokong dan menjadi ahli UMNO-BN sahaja? Kerana apa yang diketahui sejak dulu lagi sudah pun ramai para guru dibiarkan untuk aktif berpolitik khususnya guru-guru yang menyokong UMNO-BN!

Kedua, diberitahu bahawa setiap guru yang berhasrat untuk memegang dan aktif didalam politik perlulah meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak atasan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apakah sebelum ini guru-guru yang ‘totok’ menyokong dan telah aktif memegang jawatan didalam UMNO telah turut sama meminta kebenaran tersebut?

Ketiga, sebagaimana kata KSN guru-guru boleh aktif berpolitik cuma jangan mengabaikan tugas hakiki mereka untuk mengajar di sekolah masing-masing. Apakah jaminan KPM ini semua tidak menggangu pengajaran masing-masing nanti?

Untuk pengetahuan pihak atasan KPM, sebenarnya sudah sekian lama guru-guru yang aktif didalam UMNO terutamanya mengabaikan tugas mereka apabila masing-masing sibuk untuk bermesyuarat ke sana ke sini setiap masa yang sehinggakan terdapat rungutan daripada ibubapa pelajar sendiri!

Sebab itu didalam hal ini, kita bersikap terbuka dan amat bersetuju dengan kebenaran yang diberikan kepada guru-guru untuk aktif berpolitik cuma kita tidak mahu kebenaran ini hanyalah bersikap sementara dan mengamalkan ‘kebenaran terpilih’ sahaja!

Bagi kita, tiga persoalan yang diutarakan tadi adalah merupakan persoalan dasar sahaja yang sudah pasti boleh dijawab oleh pihak KPM terutamanya.

[SUMBER]

No comments

Powered by Blogger.