Dakwaan rasuah: DAP pecat ahli majlis MPK

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


PETALING JAYA, 31 Julai – DAP memecat ahli Majis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock hari ini ekoran dakwaan rasuah memperoleh kontrak RM1 juta daripada pihak berkuasa tempatan itu dengan menggunakan surat sokongan Exco Kerajaan Negeri.

Tee sebelum ini diminta mengambil cuti oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tan Kok Wai selepas kes itu dilaporkan oleh akhbar awal minggu ini.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Tee telah diarahkan bercuti sementara siasatan dilakukan ke atas dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi Exco bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kontrak MPK.

Tee bercuti bermula semalam sehingga satu tempoh yang akan diberitahu.

“Tee sendiri telah maklum dengan perkara ini dan beliau bersetuju dengan rela hati untuk bercuti buat sementara waktu,” kata Khalid.

Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Negeri menyiasat dakwaan seorang ahli majlis MPK telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Ahli majlis penggal ketiga itu telah menafikan dakwaan itu sambil meminta MPK membentuk pasukan petugas khas untuk menentukan kebenaran.

Liu juga menafikan kepala surat beliau telah disalahgunakan.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.