NUTP sambut baik langkah benar guru terlibat politik

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Langkah untuk membenarkan guru siswazah terlibat dalam politik tidak sepatutnya mempertaruhkan pendidikan pelajar, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata kesatuan itu menyokong langkah itu tetapi syarat tertentu perlu dipatuhi.

“Keutamaan patut diberikan kepada pendidikan kanak-kanak... politik adalah nombor dua.”

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini bahawa mulai 1 Ogos, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah (guru) Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan terlibat dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik perlu mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Lok berkata dengan langkah itu, suara guru mengenai pelbagai isu akan lebih didengari di peringkat politik dan mereka patut diberi peluang untuk memainkan peranan konstruktif dalam politik.

Di SHAH ALAM, Mentri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata biarpun guru siswazah dari kumpulan itu akan dibenarkan menyertai politik, beliau berharap mereka tidak akan menggunakan masa yang banyak untuk tujuan itu.

Beliau berkata antara tujuan pegawai kerajaan termasuk guru di bawah kumpulan pengurusan tidak digalakkan menyertai politik adalah supaya mereka mampu memberi pandangan yang bebas untuk semua orang dan bagi mengelakkan pertelingkahan kepentingan.

Abdul Khalid berkata demikian selepas memberikan rumusan mengenai Majlis Dialog Bajet 2011 untuk Selangor di sini hari ini.

Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah pada majlis yang sama berkata berkata guru adalah golongan profesional dan mereka sepatutnya tidak dilibatkan dalam kancah politik.

“Adalah tugas kakitangan awam membantu kami ahli politik... bukan terlibat secara langsung dalam politik,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram negeri. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.