Syor Lantik Satu Pengarah Untuk Satu GLC Sahaja

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 29 Julai - Senator Dr S Ramakrishnan hari ini menggesa kerajaan supaya meminda dasar pelantikan pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan melantik hanya seorang sahaja pengarah untuk mengendalikan satu syarikat GLC dan bukannya mewakili banyak syarikat seperti amalan sedia ada.

Kata beliau, pindaan itu perlu bagi memastikan pengurusan GLC dilaksanakan dengan lebih tersusun dan mendapat perhatian lebih khusus daripada pengarah yang dilantik itu.

"Kalau seorang menjaga lima GLC dengan terdapat hampir 30 hingga 40 anak syarikat di bawah jagaannya, bayangkan macam mana dia buat kerja, apa yang dia boleh sumbangkan untuk memenuhi tanggungjawab kepada kesemua syarikat yang dikendalikannya?

"Saya syorkan hanya satu pengarah untuk satu GLC, tidak boleh lebih daripada itu, jadi dia boleh memberi tumpuan terhadap syarikat yang diuruskan," katanya pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Sebelum itu dalam jawapan kepada soalan Dr Ramakrishnan dalam Dewan Negara, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Donald Lim berkata pelantikan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah setiap GLC berdasarkan kepada garis panduan yang terkandung dalam Buku Hijau berkaitan meningkatkan keberkesanan lembaga yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi prestasi tinggi GLC.

"Antara lain kriteria yang dinyatakan di dalam Buku Hijau adalah bagi memastikan setiap pengarah GLC yang dipilih berdasarkan kepada kelayakan masing-masing dan bukannya pertimbangan politik atau mempunyai hubungan mahupun kenalan baik kepada Menteri berkaitan," katanya.

Menurut Siang Chai, antara kriteria penting bagi setiap pengarah GLC termasuk memiliki pengetahuan serta kemahiran tertentu yang ditimba daripada pengalaman berkecimpung dalam pelbagai industri yang berkaitan dengan GLC yang mereka wakili.

Di samping itu, katanya mereka harus juga memahami dan sensitif kepada objektif pembangunan negara yang menjadi teras kepada setiap GLC.

"Kriteria-kriteria yang digunapakai untuk melantik pengarah GLC selama ini didapati berkesan dan sehubungan itu disebabkan faktor ini juga buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menukar polisi sedia ada," kata Donald.

No comments

Powered by Blogger.