Poco-poco: Mufti Kelantan mahu Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan

KUALA LUMPUR, 1 April — Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mahu Majlis Fatwa Kebangsaan membuat kajian berhubung tarian senaman poco-poco bagi menentukan kesahihan dari segi hukumnya memandangkan ia kini bertukar menjadi isu nasional.

“Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membincangkan isu ini di peringkat muzakarah peringkat pusat bagi menentukan dari segi hukumnya,” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.

Justeru kata beliau, langkah Majlis Fatwa Kebangsaan adalah penting supaya perkara tersebut dapat diselaraskan di semua negeri.

Shukri juga dipetik berkata, isu itu tidak berbangkit di Kelantan dan atas sebab itu pihak berkuasa majlis fatwa negeri tidak membincangkan perkara tersebut.

“Kita hanya membincangkan apa-apa isu yang berkaitan dalam negeri seperti isu ajaran sesat membabitkan Ayah Pin kita membincangkannya di peringkat negeri kerana ia melibatkan penyebaran di negeri ini,” katanya lagi.

Jawatankuasa fatwa negeri hanya boleh menerima pakai apa-apa fatwa yang diputuskan di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan jika membabitkan isu nasional untuk diselaraskan, kata Shukri lagi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak membincangkan isu itu sehingga menimbulkan perselisihan pendapat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan.

“Ini kerana hanya akan menimbulkan perselisihan pendapat dan sekali gus boleh memecahbelahkan perpaduan semasa mereka,” katanya.

Laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau mahu semua pihak tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengharamkan tarian poco-poco di negeri itu berkuat kuasa Januari lalu.

Menurutnya, keputusan jawatankuasa itu mengharamkan tarian poco-poco adalah sah dan ia dibuat berdasarkan kajian dan pemerhatian.

Jelas Jamil Khir, jawatankuasa itu mempunyai autoriti yang sah untuk mengeluarkan fatwa jika dirasakan sesuai termasuk mengharamkan tarian poco-poco.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu selepas poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian atau pergerakan badan dan kepercayaan umat Islam yang bertentangan dengan akidah.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Jelas Jamil Khir, walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan poco-poco tidak haram, namun jawatankuasa negeri masing-masing boleh memutuskan keputusan sekiranya dirasakan perlu.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa.

“Akibat fatwa poco-poco, habislah semua yang macam ada kaitan dengan agama lain akan haram selepas ini,” kata beliau semalam.

1 comment

dlines said...

majlis fatwa patutnya kamu ni kerja betul2 le..kluang rail coffee yang dah berpuluh tahun menghidangkan maknan yang haram dimakan oleh orang islam..tapi apakah tindkan yang perlu diambil..jabatan agama johor kata samak dah cukup...apale nasib umat islam di negara ini..ye..poco2 yang disibuk2..

Powered by Blogger.