Siapa yang bersalah - kita atau orang lain? - bhg 2 (akhir)

Banyak kali saya menulis tentang masalah yang sebenarnya dihadapi oleh UMNO parti yang menunjangi BN. Sebagaimana yang saya sebut semalam UMNO di peringkat akar umbi dari segi teknikalnya telah mati dan tidak berfungsi. Kenapa keadaan jadi begini saya mempunyai pandangan dan telah pun saya tulis agak kerap kali dalam isu ini.

Kekuatan UMNO di peringkat akar umbi dahulu bukannya hidup dengan sendirinya. Kekuatannya letak di atas kesungguhan pemimpin-pemimpin cawangan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendekati rakyat. Pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan mendapat galakan dari barisan pimpinan Bahagian-Bahagian dan kerjasama di antara pimpinan Bahagian sesungguhnya amat rapat.

Cawangan-cawangan mengadakan berbagai-bagai aktiviti parti yang melibatkan ahli-ahli dan orang ramai di cawangan dan kariah masing-masing. Tetapi semuanya itu sudah menjadi sejarah kerana cawangan-cawangan hanya mempunyai satu aktiviti dalam setahun; iaitu untuk mengadakan mesyuarat agong cawangan. Itu pun lebih dar 60 peratus mesyuarat itu tidak mendapat korum yang cukup untuk mesyuarat itu.

Oleh kerana UMNO menegah mana-mana ahli membawa kes perbalahannya ke mahkamah maka banyak di antara cawangan yang bermesyuarat tidak mencukupi korum itu di biarkan sahaja dan di anggap sebagai sah. Maka ketua-ketua cawangan tidak mengambil isu sah atau tidak sahnya cawangan di sisi undang-undang sebagai perkara penting.

Semuanya ini adalah hasil dari kepimpinan yang tidak ‘legitimate’. Ramai di antara pemimpin cawangan dan bahagian itu mendapat jawatan melalui kuasa wang ringgit. Apabila mereka yang mendapat jawatan dengan kuasa wang ringgit ini mereka menjadi pemimpin yang keliru.

Budaya mencari rezki dalam parti inilah yang menyebabkan sikap pemimpin-pemimpin cawangan hanya bergerak jika digerakan dengan wang ringgit. Jika hendak mengumpulkan ahli terpaksa menyewa bas dan kereta untuk membawa mereka ke tempat program parti itu dan sudah kemestian juga diberikan elaun untuk berada di tempat keramaian itu.

Penyakit dan budaya ini sudah tidak lagi dapat diperbaiki kerana budaya membeli undi dengan wang ringgit itu akhirnya membuahkan keadaan yang melemahkan parti. Ramai ketua-ketua bahagian yang rapat dengan saya mengakui yang mereka tidak dapat menggerakan kerja parti kerana semuanya itu memerlukan wang ringgit yang banyak. Setiap pergerakan mesti ditolak dan dikuatkan dengan wang. “Mati saya macam ni!” kata seorang ketua bahagian dari Selangor. “Semuanya duit, duit duit” sambungnya lagi.

Oleh kerana permainan politik wang yang sudah tidak terkawal maka mereka ini jugalah yang memilih pemimpin-pemimpin di peringkat pusat yang juga bermain dengan wang ringgit. Ada setengah pemimpin memenangi jawatan MKT demgam berbelanja jutaan ringgit sedangkan mereka bukanlah jenis dan contoh yang baik untuk menduduki kerusi tertinggi yang menentu arah tuju serta dasar parti.

Sharil Samad yang boleh kita anggap mempunyai kepimpinan tidak berjaya menduduki MKT kerana tidak membeli undi-undi perwakilan. Saya pernah bertanya kepada beberapa orang perwakilan kenapa tidak memberikan Sharil undi sedangkan beliau adalah seorang tokoh yang baik dalam parti. Mereka menjawab, “Saya tak undi Sharil, sebab apabila bersalam dengan kami tapak tangannya licin saja bang!. Dia tak hulur, macam mana nak undi dia. Saya bagi undi kepada Azeeez Rahim sebab sampai juga sikit-sikit dia punya duit. Nak jadiperwakilan dulu bang banyak belanja keluar. Kenalah cari balek duit tu”

Bayangkan perwakilan boleh memilih Azeez Rahim dari Sharil. Bagaimana kita hendak ‘reconcile’ keadaan ini? Sampai bila pun kita tidak dapat nak memberikan rasionalnya kenapa perwakilan memilih Azeez dari Sharil. Jika saya menjadi perwakilan, walaupun saya tidak begitu setuju dengan Sharil, saya akan tetap mengundi beliau kerana beliau mempunyai kepimpinan yang terserlah, setidak-tidaknya beliau di terima rakyat di kawasannya Johor Baru.

Tetapi kepimpinan bukannya menjadi perhitungan perwakilan kita. Mereka hanya memberikan pertimbangan kepada siapa yang paling banyak ‘mengulurkan’ wang ringgit. Ada perwakilan yang telah dapat mengumpulkan kutipan dari mereka yang bertanding sehingga puluhan ribu ringgit jumlahnya. Maka inilah yang UMNO dapat dari budaya buruk yang sudah tertanam begitu lama ini.

Oleh kerana itu orang Melayu bertanya, “inikah jenis dan kualiti pemimpin yang hendak kita letakan kepercayaan untuk masa depan anak-anak dan cucu mereka?” Tetapi pimpinan UMNO tetap tidak menyedari masalh ini. Itulah sebabnya jika kalah pilihanraya orang Melayu yang ramai ini dipersalahkan, bukannya pemimpin yang tidak tulin tadi.

Jika benihnya tidak baik bagaimana hendak mendapat pohon yang baik dan berbuah dengan baik? Jika dari atas rasuah politik bermaharajalela bagaiman kita hendak mengharapkan pimpinan di bawah tidak rasuah? Makanan yang baik ialah makanan yang di masak sendiri bukannya makanan yang dibeli dari luar.

Apabila pemimpin-pemimpin rasuah tidak akan ada lagi keputusan yang baik yang datang dari pimpinan. Itulah formula yang tepat, Seperti pelajaran matematik, jika tidak diikuti formula yang betul jawapannya tidak akan betul.

Percayalah, rakyat sudah hilang keyakinan kerana tidak mempercayai ketelusan kepimpinan kita. Sakit hati mendengar komen seperti ini, tetapi apakan daya, yang benar itu tetap benar yang salah itu tetap salah. Tidak adil jika kita mendesak dan memaksa rakyat untuk menyokong kita. Kalau kita tidak mahu berkorban untuk menolak rasuah dan bermain politik wang itu. Jangan kita mengharapkan rakyat mahu mengorbankan masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka semata-mata untuk kita terus melakukan kesalahan moral dan jenayah terhadap mereka.

Kelemahan inilah yang dilihat dengan jelas oleh kaum lain, maka mereka sudah tidak lagi menghormati kita. Mereka tidak percaya lagi yang kita mampu memperbaiki diri kita lagi. Pada pandangan mereka kita sudah terlalu jauh menyimpang yang tidak mungkin berpatah balik. Kita tidak boleh mengharapkan bangsa lain boleh dipujuk dengan retorik seperti bangsa kita.

Malahan ramai di antara orang Melayu pun sudah tidak lagi termakan dengan retorik pembangunan dan bermacam pelan pembangunan yang di umumkan pemimpin kita. Ramai di antara cerdik pandai Melayu telah berpindah haluan dengan menyokong PAS kerana mereka sudah jemu dengan kesalahan yang tidak kunyung diperbaiki.

Rakyat sedar yang segala pelan mega pembangunan itu akhirnya membebankan mereka dengan peningkatan kos kehidupan yang sekarang pun sudah tidak mampu ditahan oleh rakyat yang ramai.

Rakyat sedang dalam keperitan. Mereka bukannya buta mata. Mereka bertanya kenapa seorang yang miskin, apabila mendapat jawatan politik itu dengan sekelip mata manjadi manusia yang kaya-raya.

Kita tidak payah meminta rakyat memberikan bukti rasuah itu, kerana rakyat tahu apa yang dilakukan mereka. “We know what they did last summer” kata seorang kenalan yang begitu serius membahaskan isu kepimpinan ini.

Saya tidak memerlukan sesiapa percaya dengan pandangan ini. Hanya saya berharap sesiapa yang tidak bersetuju itu hanya mengingati apa yang saya kata ini. Suatu hari akan sampai bukti kebenarannya. Ia akan sampai, kalau tidak cepat, lambat. Sampai tetap sampai. Insyaallah.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.